
LATIHAN pengurusan dan pengendalian krisis keganasan yang melibatkan Pasukan 69 Komando dan Pasukan Gerakan Khas (PGK) di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada Isnin mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Simulasi Ex Kurung 2025 yang melibatkan insiden letupan dan serangan oleh sekumpulan individu bersenjata itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan pihak keselamatan serta kesedaran awam terhadap kemungkinan ancaman luar jangka.
Bagaimanapun, latihan yang kelihatan realistik ini menimbulkan perbincangan hangat dalam talian.
BACA LAGI: [VIDEO] Insiden serangan lelaki bersenjata di Politeknik Ungku Omar hanya latihan simulasi Komando
Seorang pengguna media sosial, Fizz Fixz, menegaskan bahawa rakyat Malaysia seharusnya mengambil serius latihan seperti ini dan tidak mempertikaikannya.
Dia mengingatkan masyarakat agar tidak leka dengan keamanan yang dikecapi, sambil merujuk kepada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sebagai contoh ancaman yang boleh berlaku tanpa diduga.
"Ambil iktibar kejadian Lahad Datu, sasaran ancaman tidak mengenal tempat, ruang dan waktu!
"Latihan ini memastikan barisan keselamatan sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang ancaman," tulisnya di laman sosial.
Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim (tengah) rsama kesemua elemen yang terlibat selepas selesai latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan pasukan 69 Komando PGK yang dipanggil Ex Kurung di PUO. — Gambar/FacebookPUO
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Mat Selow, mengkritik segelintir masyarakat yang dianggap terlalu sensitif terhadap latihan simulasi seperti ini.
"Sekadar simulasi pun kecoh seantero Malaya. Jika benar-benar berlaku serangan, bagaimana reaksi kita? Jangan terlalu lembik dan terpengaruh dengan komen negatif," ujarnya.
Dalam pada itu, pengguna lain, Qamarul Syahmi, mencadangkan supaya setiap institusi pendidikan termasuk sekolah memperkenalkan modul Pertahanan Awam yang lebih komprehensif.
"Negara luar seperti Singapura mempunyai hari khas untuk latihan kecemasan. Malaysia juga perlu meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan di peringkat pendidikan," katanya.
"Latihan seumpama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan negara terjamin. Walaupun mencetuskan pelbagai reaksi, ia memberi peringatan bahawa persediaan menghadapi ancaman luar jangka amat penting dalam mengekalkan keamanan negara," tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pelajar PUO dilaporkan cedera semasa latihan simulasi Ex Kurung 2025 yang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Khas 69 Komando di kampus institusi tersebut pada Isnin.
Pelajar perempuan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan seliuh pada kaki kiri selepas terjatuh ketika berlari untuk menyelamatkan diri.
Dalam satu kenyataan, PUO memaklumkan bahawa pelajar tersebut menerima rawatan daripada petugas kesihatan yang berada di lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram