
LEBIH daripada sekadar minuman berkarbonat, suasana di gerai Sechenta yang dihiasi elemen flora menjadi daya tarikan utama buat yang datang berkunjung.
Keunikan Sechenta bukan hanya terletak pada rasa minuman menyegarkan tekak, tetapi keupayaan mencipta suasana menggamit mata dengan susunan bunga-bungaan.
Melihat perwatakan dan pembawaan fesyen unik yang digayakan Iffa Syahirah Nordin, 24, tak hairanlah perniagaan ditubuhkan sejak 23 Mac 2023 itu memiliki identiti tersendiri.
Minat mendalam terhadap bidang perniagaan mencetuskan inspirasi usahawan berasal dari Kokdiang, Kedah itu memulakan jualan minuman berkarbonat di di tepi jalan, berhampiran kawasan perumahannya.
Keputusan itu juga dibuat setelah mengambil kira kekurangan peniaga yang menawarkan minuman berkarbonat dek peningkatan jumlah peniaga minuman berasaskan kopi ketika itu.
Ujar Iffa Syahirah, inspirasi di sebalik Sechenta datang daripada impian sejak kecilnya yang sudah terpesona dengan dunia perniagaan minuman.
"Semasa kecil saya suka tengok filem yang ada babak jual minuman di tepi jalan. Saya selalu cakap pada ibu, nanti nak ada perniagaan seperti itu," kongsinya kepada Majoriti.
Minuman berkarbonat dengan sentuhan bunga edible menjadikan menu Sechenta lain daripada yang lain.
Pada awalnya, beliau berniaga di tepi jalan dengan hanya menjual minuman lemon berkarbonat.
Namun, rezeki berpihak kepadanya apabila rakan-rakan menawarkan bantuan untuk merakam gambar dan video promosi.
Tidak disangka, salah satu video tersebut menjadi tular, menarik perhatian ramai dan membawa lonjakan pelanggan yang agak mendadak.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu menambah, momentum tersebut terus berkembang apabila beliau mendapat jemputan menyertai acara tempatan di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, Kedah empat minggu selepas beroperasi.
"Itu merupakan acara besar pertama saya dan dari situ, Sechenta mula mendapat lebih banyak jemputan ke pelbagai acara lokal, terutamanya bazar dan program hari raya.
"Ketika itu pula pasaran perniagaan minuman didominasi oleh kedai kopi," ujarnya yang berkongsi perkembangan terkini mengenai bisnes melalui Instagram se.chen.ta.
Iffa Syahirah (kanan) kini menjalankan perniagaan di garaj rumahnya.
Menyedari keperluan untuk tampil berbeza, Iffa Syahirah mula melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap konsep minuman berasaskan bunga.
Dengan minatnya terhadap tumbuh-tumbuhan itu, wanita tersebut bereksperimen menggunakan bunga segar dan kering dalam minuman untuk memastikan keselamatan serta rasa yang sesuai.
Keunikan Sechenta yang menawarkan minuman berkarbonat dengan sentuhan bunga edible menjadikannya lain daripada yang lain.
Faktor itu juga memudahkan dirinya menyertai lebih banyak acara disebabkan produknya berbeza daripada kebanyakan vendor kopi.
"Saya mula jual minuman berkarbonat ketika bisnes kopi sedang melonjak naik, jadi situasi ini memudahkan saya untuk menyertai mana-mana cara dianjuran," ujarnya.
Melihat pertambahan pelanggan selepas kira-kira lima bulan beroperasi menguatkan semangat usahawan itu untuk memindahkan lokasi perniagaan ke garaj rumahnya yang terletak bersebelahan dengan sawah padi.
Bercerita mengenai menu yang ditawarkan, ujar Iffa Syahirah, selain kopi, beliau juga menyediakan makanan ringan seperti roti pisang, roti bakar, kentang goreng termasuk makanan kampung seperti cekodok dan pisang goreng.
"Sebahagian besar hidangan adalah resipi daripada ibu saya dan kami mahu memberi kelainan serta variasi kepada pelanggan," ujarnya.
Iffa Syahirah gemar menghias gerainya dengan bunga-bungaan selain meja beralaskan kain batik.
Bunga
Bunga bagi wanita berkaca mata itu, bukanlah sekadar hiasan, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada identiti perniagaan dan dirinya sendiri.
Tuturnya, minat terhadap bunga bermula sejak kecil lagi, dipengaruhi oleh ibunya yang gemar menanam pokok-pokok eksotik di halaman rumah.
"Dulu saya selalu tengok ibu tanam pokok-pokok eksotik di rumah dan itu yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bunga," katanya.
Pemegang Diploma Pengajian Perniagaan daripada Politeknik Ungku Omar itu turut berkongsi bahawa minat terhadap bunga memberi impak besar dalam perniagaannya.
Antaranya termasuk penggunaan butterfly pea atau dipanggil bunga telang, roselle dan crisantinum dalam menu minuman yang dihasilkannya.
Keluarga sebagai tulang belakang dalam perjalanan perniagaan wanita itu.
Lebih menarik, kesemua air dijual adalah dimasak sendiri, bukannya menggunakan bahan sedia ada yang dibeli di kedai.
"Untuk minuman saya tak beli yang sudah siap, tetapi akan masak bahan-bahan ini sendiri.
"Kita juga sudah menambah baik dari segi penyediaan air dengan membeli mesin membuat minuman bergas sendiri menggunakan air mineral," jelas.
Menurut Iffa Syahirah, kaedah tersebut memberi kelebihan bagi mengawal rasa manis dalam minuman yang dihasilkan.
"Dengan menggunakan mesin, kami dapat kawal rasa manisnya, jadi minuman kami berbeza sedikit dari yang lain. Pelanggan boleh merasai perbezaannya," katanya menambah mesin tersebut memerlukan penyelenggaraan yang rapi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram