[VIDEO] Saling mengingat ketika Ramadan, Neelofa pernah cuba 'skip' tarawih, tapi kena 'ceramah' dengan Haris


  • Relaks
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Peranan Neelofa dan Haris dalam mengingatkan antara satu sama lain adalah kunci untuk menghayati Ramadan. — Neelofa

 

 

MENELUSURI Ramadan penuh barakah, pasangan selebriti Neelofa dan Haris Ismail berkongsi tip untuk memotivasikan diri agar kekal produktif dalam menjalani ibadah sepanjang bulan mulia ini.

Ujar Neelofa, peranan mereka dalam mengingatkan antara satu sama lain adalah kunci untuk menghayati Ramadan dengan sepenuh hati.

Menurutnya, Haris lebih banyak memainkan tanggungjawab mengingatkan dirinya untuk tidak meninggalkan ibadah tarawih.

BACA LAGI: Perlahankan aktiviti seni, aktif kongsi ilmu kecantikan, parenting, Neelofa, Izara dan Lisa Surihani antara artis wanita suntik inspirasi di media sosial

BACA LAGI: [VIDEO] Hampir cecah 2 tahun Bilal dah kenal surah pendek, Neelofa tak kisah penat pilih konten anak

 

"Haris pula kalau (ada hari) saya macam tak larat nak solat tarawih, beliau yang akan membebel.

"Beliau akan cuba sebaik mungkin untuk mengingatkan dan pastikan saya pergi tarawih," kongsi pengacara dan pelakon itu.

Akui Neelofa, pernah beberapa kali beliau terfikir untuk ponteng daripada mengerjakan tarawih, namun suaminya itu tidak pernah jemu memberi ceramah kepadanya berhubung manfaat solat tersebut.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mengakui, beliau lebih gemar mendirikan solat dan beribadah pada waktu tengah malam.

"Namun tarawih tiada di bulan lain, jadi kita kena cuba dapatkan (nikmat pahala) untuk kedua-dua amalan," jelasnya.

Mengakui akan hal itu, Haris berkongsi pandangan tentang bagaimana pentingnya untuk tidak membiarkan masa berlalu begitu sahaja.

"Kita kena fikir masa itu singkat. Kadang-kadang kita rasa malas, penat dan mungkin terfikir untuk skip beberapa perkara.

"Namun kena ingat, Ramadan ini singkat. Jadi, kita kena pastikan bahawa kita memanfaatkan bulan ini sepenuhnya," ujar Haris.

Perbezaan rutin seharian melengkapkan mereka sebagai pasangan suami isteri.

Bercerita tentang amalan sahur pula, Neelofa berkata, sudah menjadi rutin untuk beliau bangun sekitar pukul 4.30 pagi dan menghidupkan suasana bersahur, berbeza dengan suaminya yang cenderung untuk bangun sedikit lewat.

Bagaimanapun ujar Haris atau nama lengkapnya, Muhammad Haris Mohd Ismail, perbezaan itulah yang melengkapkan mereka sebagai pasangan suami isteri.

"Dia (Neelofa) jenis morning person, pukul 4 hingga 4.40 pagi dah hidup. Perlu ada salah seorang di dalam rumah yang rajin bangun pagi dan kejut untuk sahur.

"Tak payah makan banyaklah awal pagi, kurma dengan air pun dah cukup.

"Ramadan ini adalah masa yang tepat untuk kita hilangkan lemak-lemak yang tidak perlu dan menambah kebaikan untuk kesihatan tubuh," ungkapnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram