
BENAR kata orang, malang itu tidak berbau. Walaupun kita hanya seinci daripada terkena malang, namun jika bukan takdir kita, maka terselamatlah daripada bahaya.
Itulah nasib yang menimpa seorang pemuda di Kilometer 41, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 3, Gua Musan, Kelantan apabila dirinya terselamat daripada dirempuh oleh sebuah lori laju.
Walaupun berjaya menyelamatkan diri, namun pemuda itu terpaksa berputih mata apabila kenderaan jenis Toyota Hilux miliknya remuk dirempuh lori tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Kereta terbabas masuk parit, mangsa berenang selamatkan diri di Sungai Besar
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu lori 23 tahun bawa kontena senget di Lebuhraya ELITE boleh didenda sehingga RM2,000
Dalam rakaman yang tular di media sosial, pemuda tersebut baru saja sampai di sebuah kedai dipercayai untuk mendapatkan barang.
Namun, tidak lama selepas dia turun, pemuda itu menyedari sebuah lori datang ke arah keretanya lalu dia dengan pantas masuk ke dalam kedai untuk menyelamatkan diri.
Lori itu, dipercayai tidak sempat untuk brek merempuh kereta pemuda itu dengan kelajuan tinggi hingga ia tertolak ke hadapan.
Selain daripada pemuda tersebut, sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna biru dilihat terselamat dan tidak mengalami sebarang kerosakan walaupun berada betul-betul di sebelah Hilux itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, lelaki yang memandu trak pikap jenis Toyota Hilux terselamat apabila sempat turun lebih awal daripada kenderaannya.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Gua Musang menerima makluman berkenaan kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan.
Katanya, siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 40 tahun memandu treler jenis Dong Feng sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Kota Bharu.
“Semasa di lokasi kejadian, sebuah kenderaan secara tiba-tiba telah keluar dari simpang kanan jalan sehingga menyebabkan pemandu treler itu cuba mengelak ke bahu kiri jalan.
“Keadaan itu menyebabkan treler itu merempuh bahagian belakang trak pikap jenis Toyota Hilux dan sisi kiri sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang berada di bahu kiri jalan sebelum terbalik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Choon Foo memberitahu, rempuhan itu mengakibatkan Toyota Hilux meluncur ke depan dan melanggar sebuah kedai makan yang berada di bahu jalan kiri jalan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram