
KEJADIAN letupan dan serangan oleh sekumpulan individu bersenjata di Politeknik Ungku Omar (PUO) dekat Ipoh, Perak pada Isnin hanya latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan melibatkan Pasukan 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas (PGK).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan kejadian itu hanya sebahagian daripada latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan yang dijalankan oleh pasukan tersebut.
Katanya, latihan berskala kecil itu melibatkan insiden di mana sekumpulan individu tidak dikenali menjadikan seorang pensyarah serta beberapa pelajar sebagai tebusan.
"Berdasarkan kejadian, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan daripada pegawai keselamatan PUO mengenai insiden tersebut.
"Latihan berskala kecil ini bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan agensi yang terlibat, termasuk polis, PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau lagi, latihan itu dijalankan bagi memastikan pengurusan serta tindakan dalam menangani krisis keganasan dapat dilaksanakan dengan berkesan, seperti digariskan dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 18.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik atau menyebarkan spekulasi tidak tepat mengenai latihan tersebut," katanya.
Terdahulu, tular gambar di aplikasi WhatsApp memperlihatkan lelaki bertopeng dan bersenjata dalam keadaan mencurigakan berada dalam kawasan politeknik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram