'Saya percaya ramai berasakan hukuman ini terlalu ringan', Nancy gesa hukuman lebih berat bapa eksploitasi anak tiri


  • Primer
  • Jumaat, 21 Mac 2025

Nancy berkata, hukuman lebih berat bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa, tetapi juga menjadi pengajaran kepada masyarakat.

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa hukuman lebih berat dikenakan terhadap seorang bapa yang bertindak mengeksploitasi anak tirinya.

Ia susulan kes seorang lelaki berusia 56 tahun yang didenda RM6,000 kerana mengaku bersalah merakam dan memiliki bahan lucah berupa video serta gambar bogel anak tirinya yang diambil ketika kanak-kanak itu sedang mandi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak berkaitan diharap dapat mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut.

BACA LAGI: Perlu ada sistem hukum pendera, elak kes eksploitasi kanak-kanak meningkat — Lee Lam Thye

BACA LAGI: JKM disaran sediakan platform tepat, ibu bapa jangan eksploitasi anak bawah umur bekerja

"Pada pandangan saya, hukuman yang lebih berat wajar dikenakan ke atas perbuatan jijiknya sebagai seorang bapa tiri yang seharusnya menjadi pelindung kepada ahli keluarganya dan bukannya berkelakuan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas Nancy, kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya bertolak ansur dengan sebarang bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak.

"Saya percaya ramai berasakan hukuman ini terlalu ringan. 

"Hukuman lebih berat bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa, tetapi juga menjadi pengajaran kepada masyarakat bahawa kesalahan seperti ini tidak boleh dipandang ringan,” ujarnya.

Nancy turut menyeru agar masyarakat lebih peka dan berani melaporkan sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak supaya tindakan tegas dapat diambil dan kanak-kanak mendapat perlindungan sewajarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram