
MENGARAHKAN atau mengeksploitasi kanak-kanak bawah umur untuk bekerja sememangnya satu tindakan menyalahi undang-undang.
Ia selari dengan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara yang menggariskan perkataan eksploitasi dengan merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti mendatangkan faedah kepada pihak lain termasuk daripada segi kewangan.
Kanak-kanak berusia bawah 18 tahun diklasifikasi sebagai bawah umur termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) di Malaysia.
BACA LAGI : KPM disaran kaji semula sistem pembelajaran kanak-kanak bawah 7 tahun, fokus EQ daripada IQ
Justeru, setiap tindakan yang melanggar akta berkenaan akan dikenakan tindakan tegas seperti kes yang berlaku baru-baru ini.
Kanak-kanak bawah umur yang seharusnya di bawah pantauan ibu bapa. — Gambar hiasan
Terdahulu, media melaporkan, penguat kuasa Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) mengesan aktiviti meraih simpati sehingga dapat menjana pendapatan sebanyak lebih RM10,000 sebulan melibatkan dua kanak-kanak di Bandar Hilir, Melaka.
Pihaknya juga dilaporkan menyelamatkan dua beradik yang sedang menyanyi di tepi jalan sehingga lewat malam dipercayai telah dieksploitasi oleh ibu bapa mereka.
Susulan itu, JKM juga dilaporkan mengambil tindakan tegas terhadap mereka dan dikatakan akan melihat kesesuaian untuk menempatkan dua beradik itu di pusat kebajikan atau pengawasan mengikut akta berikut.
Namun, terdapat juga suara-suara yang seakan-akan membantah tindakan JKM kerana ia dilihat sebagai penghalang bagi kanak-kanak itu untuk menonjolkan bakatnya.
Mengulas lanjut, seorang pengguna Facebook dengan nama Rohaifi Azri mendakwa, tindakan JKM menggunakan akta demi menempatkan kanak-kanak tersebut di pusat kebajikan adalah tidak wajar.
Jelasnya, dua beradik tersebut mempunyai bakat yang perlu ditonjolkan dan tidak ada sebarang kesalahan untuk mereka menjana pendapatan melalui perkara itu.
"Letak bawah pengawasan dan pemantauan itu lebih memadai. Sekiranya anak-anak ini memang berbakat dan mampu bekerja dengan karya seni mereka, carikanlah mereka peluang, misalnya tempatkan mereka di premis dan lokasi dibenarkan untuk membuat persembahan.
"Berikan mereka saluran pendidikan mengikut minat serta kecenderungan mereka. Rasanya tidak menjadi kesalahan anak-anak berbakat ini mencari pendapatan membantu keluarga.
"Jika ia satu kesalahan, maka artis serta pelakon cilik wajar juga dilarang beraksi sama ada di dalam media sosial mahupun terbabit dalam apa jua kerja seni," tulisnya.
Bagaimanapun, ada juga yang menyokong tindakan JKM kerana menyifatkannya sebagai satu perkara yang dapat memfokuskan kanak-kanak menimba ilmu di sekolah.
Kanak-kanak yang dikatakan perlu fokus untuk belajar daripada menjana pendapatan. — Gambar hiasan
Menurut pengguna akaun Facebook Mohd Yazid, kanak-kanak berkenaan akan menjadi malas belajar kerana lebih selesa menjana pendapatan serta mengaitkannya dengan penyanyi jalanan seperti di Indonesia.
BACA LAGI : Fahami 'rahsia' emosi kanak-kanak menerusi lukisan
"Kanak kanak tersebut dipergunakan untuk meraih simpati mengaut keuntungan. Sepatutnya ibu bapa cari rezeki untuk anak anak. Bukan jadikan anak sebagai umpan untuk mencari rezeki.
"Apakah nasib mereka jika terus dibiarkan begini. Akan jadi malas belajar dan tiada masa depan. Di Indonesia banyak yang begini sebagai pengamen (penyanyi jalanan) menyanyi sambil minta sedekah," komennya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram