Pakar psikiatri kanak-kanak Malaysia dipenjara 8 tahun dera remaja di Dublin secara seksual


  • 112
  • Rabu, 04 Dis 2024

Mahkamah Ireland menjatuhkan hukuman ke atas rakyat Malaysia atas kesalahan menjalankan aktiviti pengantunan seksual.

SEORANG pakar psikiatri kanak-kanak rakyat Malaysia dipenjara lapan tahun enam bulan oleh mahkamah Ireland atas kesalahan menjalankan aktiviti pengantunan seksual (child grooming) dan mendera remaja perempuan warga negara itu.

Menurut laporan Irish Times, Amirul Arif Mohd Yunos, 38, bekerja di klinik kesihatan mental untuk kanak-kanak dan remaja di Clonskeagh, Dublin ketika kesalahan tersebut dilakukan tahun lalu.

Berdasarkan laporan, mangsa secara rasmi bukan pesakit Amirul Arif tetapi dikenali oleh keluarganya yang meminta bantuan lelaki itu untuk merawat anak mereka yang mengalami masalah kesihatan mental.

BACA LAGI: Mahkamah sita aset Datuk Vida kerana hutang syarikat pembinaan lebih RM1 juta

BACA LAGI: ‘Doakan baik-baik’, Farid Kamil tak lagi bawa bunga, pakai ala-ala berkabung ke mahkamah

Insiden pertama berlaku ketika dia berusia 15 tahun dengan serangan seterusnya berlaku sehingga September 2023.

Amirul Arif dilaporkan mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur 17 tahun, satu pertuduhan eksploitasi seksual kanak-kanak dan satu pertuduhan bertemu kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual.

“Mahkamah diberitahu bahawa mangsa, kini berusia 17 tahun, mengalami gangguan mental yang berterusan berikutan kejadian itu.

"Serangan bermula dengan sentuhan yang tidak wajar sebelum ia meningkat kepada seks oral dan penetrasi.

"Insiden tersebut berlaku di beberapa lokasi termasuk tempat kerjanya dan di dalam kereta," lapor Irish Times.

Dalam kenyataan oleh mangsa yang dibacakan di mahkamah oleh peguam pendakwa Derek Cooney BL, remaja itu berkata, penderaan tersebut meninggalkan trauma yang menyakitkan dan serius kepadanya.

Mangsa menyatakan bahawa dia menyalahkan dirinya sendiri kerana berasakan bahawa dia 'memulakan' penderaan berkenaan dan 'patut menerimanya'.

Mangsa juga berkata bahawa dia akan 'selamanya meragui niat orang yang ingin membantunya'.

Menurutnya, pelaku berkenaan 'merampas sesuatu daripadanya yang tidak akan pernah kembali' dan kini dia takut terhadap lelaki dan kehidupan. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram