MCMC perlu kawal atau sekat Roblox elak kanak-kanak jadi mangsa ugut, pedofil — Shahul Hamid


  • Massa
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Roblox, yang menawarkan lebih 40 juta permainan ciptaan pengguna menarik minat ramai pemain muda terutamanya kanak-kanak.

PERMAINAN dalam talian popular, Roblox perlu disekat kerana berpotensi mengancam keselamatan kanak-kanak dan mendedahkan mereka kepada pemangsa siber, kata pakar kriminologi. 

Pakar berkenaan, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, platform itu boleh mendedahkan identiti kanak-kanak kepada individu tidak bertanggungjawab, selain menjadi medium kepada eksploitasi seksual seperti pedofilia.

“Permainan ini sangat berbahaya kerana ia boleh menarik perhatian kanak-kanak dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang ada.

"Mereka mungkin terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dan berisiko menjadi mangsa pemerasan atau ugutan,” katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Awas ibu bapa, Roblox kini jadi 'lubuk' golongan pedofil 

BACA LAGI: [VIDEO] Budak cedera terperosok bawah Alza, kena langgar depan sekolah di Putrajaya

Shahul mengulas mengenai permainan Roblox yang sering dimain oleh golongan kanak-kanak.

Beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai pengaruh negatif permainan itu yang boleh membahayakan kanak-kanak.

“Saya mengesyorkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah tegas dengan mengawal atau menyekat terus permainan ini. 

"Jika ia tidak membawa sebarang manfaat, lebih baik ia disekat kerana risikonya terlalu tinggi,” tambahnya.

Shahul Hamid berkata, negara luar juga tidak mengambil ringan ancaman ini kerana ia melibatkan keselamatan kanak-kanak dan isu eksploitasi seksual yang serius.

Sebelum ini, permainan Roblox menjadi perhatian selepas laporan peningkatan ancaman pemangsa siber yang menyasarkan kanak-kanak. 

Dengan lebih 40 juta pengguna, platform itu juga menarik ramai pemain muda dalam kalangan kanak-kanak, sekali gus membuka ruang kepada eksploitasi oleh individu tidak bertanggungjawab.

Seorang ibu dari San Antonio, Amerika Syarikat, Lisa Marie Helmke berkongsi pengalaman mengawasi anaknya bermain Roblox sejak usia lima tahun. 

Beliau menekankan kepentingan kawalan ibu bapa bagi memastikan keselamatan anak-anak di alam maya. 

Sementara itu, Timbalan Ejen Khas FBI Bahagian San Antonio, Alex Doran mendedahkan bahawa kes eksploitasi seksual kanak-kanak berkaitan internet semakin meningkat. 

Pemangsa menggunakan AI dan teknik kejuruteraan sosial untuk memperdaya kanak-kanak yang menyebabkan mereka menyerahkan maklumat peribadi, wang, bahan eksplisit atau bahkan terlibat dalam perbuatan mencederakan diri sendiri serta haiwan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram