[VIDEO] 'Keadaan jasad macam tisu basah', tular pengunjung jumpa mayat reput dalam kereta di parkir 'basement' pusat beli-belah terkemuka KL


  • Tular
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Mayat yang didakwa ditemukan dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.

SEORANG pengguna media sosial, Rizwan Kamarulzaman berkongsi detik cemas sewaktu menemui mayat reput di dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Begitupun, kejadian yang berlaku pada 25 Januari lepas itu hanya mula tular selepas sebuah rakaman memaparkan detik-detik penemuan mayat itu dimuat naik Rizwan ke media sosial pada Khamis. 

Rizwan mendakwa, pada awalnya dia tidak menyedari kewujudan mayat tersebut. 

BACA LAGI: [VIDEO] Tetak pekerja kedai nasi kandar sampai mati, polis cari 4 suspek di Tasek Gelugor

BACA LAGI: Lelaki terkejut kena denda RM15,000, dakwa nama syarikat disalah guna orang lain buat 'backdated' caruman KWSP hampir RM150,000

Namun, bau busuk yang semakin menyengat serta titisan air yang menitik dari kenderaan berkenaan menimbulkan rasa curiga. 

“Saya terhidu bau yang amat pelik dan melihat titisan air menitik dari kereta itu. Apabila menjenguk ke dalam, saya tergamam melihat tangan mayat yang sudah reput,” dakwanya.

Terkejut dengan penemuan itu, Rizwan segera mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk melaporkan kejadian tersebut. 

“Saya terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan dan mereka segera menghubungi pihak pengurusan sebelum laporan polis dibuat bagi tindakan lanjut,” tambahnya.

 

 

Berdasarkan siasatan awal, mayat yang ditemui dalam kenderaan jenis Proton Wira itu dipercayai sudah berada di situ selama tiga hari sebelum ditemui.

Rizwan mengakui bahawa kejadian itu meninggalkan kesan mendalam kepadanya, malah bau mayat tersebut masih mengganggu fikirannya selama dua hari selepas insiden itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan kejadian terbabit. 

Namun, katanya, kejadian itu berlaku pada pada Januari lalu.

"Laporan mengenai kes itu diterima pada 25 Januari lalu sekitar pukul 5.07 petang.

"Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Bagaimanapun, keputusan penuh bedah siasat masih menunggu laporan makmal," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan dijalankan dengan bantuan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan kembali kes lama kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

"Kami menyeru orang ramai agar menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial," katanya.

— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram