Suplemen kuruskan badan esktrak Garcinia cambogia, Perancis beri amaran kesan sampingan


  • Sihat
  • Khamis, 13 Mac 2025

Orang ramai disarankan untuk sentiasa berwaspada dalam memilih sebarang suplememen bagi mengelakkan risiko kesihatan. — Gambar hiasan

PIHAK berkuasa Perancis mengeluarkan amaran mengenai kesan sampingan penggunaan suplemen pemakanan yang mengandungi ekstrak tumbuhan tropika Garcinia cambogia.

Amaran itu dikeluarkan selepas pihak berkuasa Perancis menyiasat kematian seorang individu dipercayai mengambil suplemen berasaskan Garcinia cambogia dan memeriksa kesan sampingan lain yang dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) dan negara lain.

Agensi Kesihatan dan Keselamatan Makanan, Alam Sekitar dan Pekerjaan (ANSES) menasihati orang ramai untuk menghindari pengambilan tumbuhan tersebut.

BACA LAGI: Sebelum usia senja, amalkan 5 'vitamin' penting ini kalau nak pakai badan lama

BACA LAGI: 'Kawal makan nasi satu kerugian', 2 coach kongsi tip turun berat badan, cara pemakanan sihat

Pelbagai suplemen mengandungi ekstrak Garcinia cambogia dijual di seluruh dunia.

Garcinia cambogia juga dikenali dengan nama tempatannya, buah asam gelugur merupakan sejenis pokok yang tumbuh liar dan dipercayai berasal dari Semenanjung Malaysia. Ia telah tersebar ke negara-negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina dan juga India.

Pelbagai suplemen yang mempromosikan kemampuan Garcinia cambogia untuk menghilangkan selera makan dan membantu penurunan berat badan dijual di seluruh dunia, namun sehingga kini ia tidak disokong oleh bukti saintifik kukuh.

Meskipun Garcinia cambogia telah diharamkan dalam penggunaan perubatan di Perancis sejak 2012, lebih 340 suplemen mengandungi ekstrak tumbuhan itu masih dijual terutamanya secara dalam talian.

ANSES dalam satu kenyataan melaporkan, antara 2009 dan Mac 2025, terdapat 38 kes kesan sampingan serius yang melibatkan hati, pankreas, jantung, otot dan kesihatan mental di Perancis.

Kesan sampingan itu lebih berisiko kepada individu yang mempunyai sejarah gangguan psikiatri, pankreatitis, hepatitis dan mereka menghidap diabetes, obesiti atau tekanan darah tinggi.

Mereka yang mengambil ubat antidepresan, antiretroviral atau ubat yang memberi kesan kepada hati juga berisiko mengalami kesan sampingan.

Salah satu kes tragis adalah melibatkan seorang wanita berusia 71 tahun di Perancis yang meninggal dunia akibat hepatitis akut pada 2019 setelah mengambil suplemen Slim Metabol yang mengandungi Garcinia cambogia.

ANSES mengesahkan bahawa kematiannya mungkin berkaitan dengan suplemen tersebut, yang masih dijual di pasaran.

Selain itu, ANSES turut melaporkan bahawa seorang wanita berusia 32 tahun yang tidak mempunyai sejarah masalah kesihatan mengalami miokarditis, menyebabkan beliau memerlukan pemindahan jantung selepas mengambil suplemen berasaskan Garcinia Cambogia.

Ketua Unit Penilaian Risiko Pemakanan ANSES, Aymeric Dopter berkata, sesetengah individu mungkin berpendapat mereka tidak mengalami sebarang masalah selepas mengambilnya.

"Namun berdasarkan kes-kes ini, kita dapat lihat mereka yang hanya ingin menurunkan berat badan akhirnya menghadapi masalah kesihatan serius, bahkan maut.

"Ia tidak berbaloi dengan risiko tersebut,” katanya.

Keselamatan produk mengandungi Garcinia cambogia kini sedang dinilai oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA), yang juga menyiasat risiko asid hidroksisitrik, bahan diekstrak daripada buah Garcinia dan digunakan dalam suplemen mempromosikan penurunan berat badan.

ANSES menyeru agar senarai tumbuhan yang dibenarkan untuk digunakan dalam suplemen makanan diselaraskan di seluruh Kesatuan Eropah bagi memastikan keselamatan pengguna.

Garcinia Cambogia telah dikaji khasiatnya dalam mengurangkan berat badan. Walau bagaimanapun, hasil beberapa kajian klinikal ke atas manusia menunjukkan keputusan yang pelbagai berkaitan kesan Garcinia Cambogia dalam mengurangkan berat badan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram