
SEORANG lelaki warga emas ditemukan maut disyaki dibunuh di Kampung Baru dekat Puchong, Selangor pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di kepala, telinga dan belakang badan di rumahnya.
"Sebelum itu, polis menerima maklumat daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pukul 3.04 petang yang menemui mayat lelaki warga emas di kawasan Kampung Baru, Puchong.
"Hasil siasatan awal daripada pihak forensik mendapati terdapat kecederaan pada kepala, telinga dan belakang badan mangsa.
"Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, siasatan awal mendapati telefon pintar milik mangsa juga hilang.
"Setakat ini hanya telefon mangsa yang didapati hilang dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
"Pihak polis menyeru mana-mana pihak yang ada maklumat berhubung kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ray Erindra Raj Raja Kumaran di talian (019-6616640) atau balai polis berhampiran," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram