[VIDEO] Warga emas 85 tahun pandu lawan arus di Linkedua rupanya tersilap laluan pulang ke rumah, sempat kehabisan minyak


  • 112
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Tangkap layar video sebuah kereta Proton Saga yang dikesan memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Lebuhraya Linkedua pada Rabu.

PEMANDU kereta Proton Saga yang dikesan memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua)dekat Johor Bahru, Johor pada Rabu merupakan warga emas berusia 85 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, warga emas lelaki berkenaan dikesan dan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri, Johor untuk membantu siasatan pada Khamis.

"Siasatan mendapati lelaki warga emas itu memandu secara melawan arus, merbahaya dan melulu di Kilometer 14.3 (arah Utara) Linkedua kelmarin, kerana tersilap memasuki laluan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tampoi, Johor Bahru.

BACA LAGI: [VIDEO] Perompak bertopeng dan berparang mati ditembak di Sepang berbahaya, guna MO pulang ke negara asal lepas buat jenayah — Polis

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mungkin ALLAH nak beri saya syurga', kakak sabar jaga adik hilang tempurung kepala, terlantar akibat kemalangan ragut nyawa ibu bapa

"Warga emas itu kemudian dipercayai keluar melalui susur Gelang Patah dan memandu ke arah Mutiara Rini, sebelum kereta yang dipandunya kehabisan minyak.

"Dia kemudian dibantu oleh orang awam dan pulang ke rumah menggunakan perkhidmatan e-hailing," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

 

Terdahulu, pada Khamis, Majoriti melaporkan pihak polis sedang giat mengesan pemandu tular yang memandu melawan arus di Linkedua pada Rabu.

Melalui rakaman tular kamera papan pemuka (Dashcam) berdurasi 28 saat yang memaparkan sebuah kereta dipandu dalam keadaan melawan arus dengan laju serta merbahaya di lorong paling kanan Linkedua.

Ia menyebabkan pemilik dashcam berkenaan terkejut dan menjerit sehingga terpaksa memberi laluan kepada kenderaan berkenaan yang dipandu secara melawan arus dan melulu.

Mengulas lanjut, Kumarasan berkata, polis sedang menyiasat kes berkenan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pejabat Pertanyaan BSPTD Iskandar Puteri di talian 07-5101322. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram