[VIDEO] Bahayakan nyawa pengguna lain, polis Johor cari pemandu lawan arus di Lebuhraya Linkedua


  • 112
  • Khamis, 13 Mac 2025

Kereta jenis Proton Saga dikesan memandu dalam keadaan melawan arus sehingga hampir meragut nyawa individu lain.

POLIS kini giat mengesan seorang pemandu yang dirakam memandu arus di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Johor sehingga membahayakan nyawa orang lain.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, tindakan itu diambil susalan tularnya video kejadian tersebut.

“Setakat ini, tiada laporan rasmi diterima berhubung insiden tersebut. 

"Namun polis sedang giat jalankan siasatan termasuk usaha mengesan pemandu berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: Polis jumpa petunjuk baharu dalam siasatan kes Zayn Rayyan

BACA LAGI: Tiada tindakan lanjut terhadap 3 penyampai radio ERA FM, denda RM250,000 sudah memadai — Fahmi Fadzil

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 29 saat yang memaparkan sebuah kereta Proton Saga dipandu dalam keadaan melawan arus dan laju.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada Rabu.

Tindakan pemandu itu mendapat kecaman hebat daripada orang ramai yang menganggapnya sebagai perbuatan melulu yang boleh mengakibatkan kemalangan maut.

Seorang pengguna media sosial, Apis meluahkan rasa kesalnya sikap cuai pemandu itu. 

"Menyusahkan orang lain sahaja. Bagaimana kalau ada yang kehilangan nyawa akibat kecuaian begini?," katanya. 

Seorang lagi pengguna, Mohd Saiful menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

"Haramkan individu itu daripada memandu seumur hidup. Jika tiada tindakan, nyawa pengguna jalan raya lain bakal menjadi taruhan.

"Sekurang-kurangnya, hukuman penjara setahun perlu dikenakan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram