
POLIS sedang memburu empat lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang warga Myanmar yang diserang di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu sekitar pukul 3.20 pagi daripada seorang lelaki tempatan.
Laporan menyatakan bahawa empat individu tidak dikenali datang membawa senjata parang sebelum bertindak menyerang mangsa di premis berkenaan.
BACA LAGI: 'ALLAH pinjamkan Muhammad Darwisy sekejap', bayi lelaki Baddrol Bakhtiar meninggal dunia
BACA LAGI: Bermain riang kamu di sana, tunggu ayah ibu di syurga, Baddrol reda pemergian Muhammad Darwisy
“Siasatan awal mendapati suspek tiba di lokasi menaiki sebuah kereta berwarna gelap.
"Mereka memakai topi dan menutup muka sebelum keluar dari kenderaan dan bertindak menyerang mangsa yang sedang bertugas di restoran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Anuar berkata, mangsa cuba melarikan diri namun dikejar dan ditetak beberapa kali di kepala, lengan dan badan, sebelum rebah di lokasi kejadian.
Selepas serangan itu, kesemua suspek segera melarikan diri dengan kenderaan yang sama.
Pasukan perubatan dari Hospital Kepala Batas yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa, lelaki berusia 38 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah di leher.
“Terdapat kesan tetakan pada lengan kanan, kepala dan belakang badan mangsa,” kata Anuar.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Shuheri Abdul Rani di talian 04-5762222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram