Lelaki terkejut kena denda RM15,000, dakwa nama syarikat disalah guna orang lain buat 'backdated' caruman KWSP hampir RM150,000


  • Tular
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Ka Hoe Ng terkejut apabila menerima surat tuntutan daripada KWSP yang mengarahkannya membayar denda RM15,000. 

SEORANG pemilik syarikat terkejut apabila menerima surat tuntutan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mengarahkannya membayar denda RM15,000. 

Lebih mengejutkan, syarikat yang dikaitkan dengan tuntutan itu telah dibubarkan sejak 2014.

Dalam hantaran di media sosial, mangsa, Ka Hoe Ng mendedahkan perkara itu selepas tampil membuat laporan polis.

BACA LAGI: Tahun 2032 paling awal komet hentam bumi, NASA ramal peratusan kian menurun

BACA LAGI: [VIDEO] Bermula dari semangkuk bubur, bekas guru berbangsa Cina jadi sukarelawan masjid setiap kali Ramadan

"Saya terkejut menerima surat peguam meminta saya membayar denda RM15,000. Apabila saya pergi ke KWSP untuk mendapatkan penjelasan, saya dapati ada seseorang yang menggunakan nama syarikat saya untuk membuat caruman bagi pekerja yang langsung tidak saya kenali," katanya.

Menurut Ka Hoe, seorang individu yang dikenali sebagai 'Mr O' telah memfailkan tunggakan caruman KWSP bagi tempoh Disember 2020 hingga Mei 2022, dengan jumlah keseluruhan RM150,000. 

Pembayaran dibuat menggunakan cek secara terus di kaunter KWSP. Lima bulan kemudian, akaun majikan syarikat itu ditutup dengan alasan tiada lagi pekerja.

"Apabila saya melihat senarai pekerja yang dikaitkan dengan syarikat saya, saya tidak mengenali seorang pun dalam senarai itu. 

"Lebih pelik, tandatangan yang digunakan dalam transaksi tersebut adalah milik seorang bekas pengarah syarikat saya, Mr B, yang telah meletak jawatan sejak 2013," katanya.

Ka Hoe berkata, selain meletakkan jawatan, Mr B juga sudah diisytiharkan muflis kerana bebanan hutang hartanah.

"Macam mana benda ini boleh berlaku? Syarikat saya dah lama tak wujud, tapi masih digunakan untuk caruman KWSP? Saya betul-betul pelik," luahnya.

Bimbang terlibat dalam penipuan itu, Ka Hoe segera membuat laporan polis untuk melindungi dirinya daripada tindakan undang-undang. 

Ka Hoe berharap pendedahannya dapat memberi kesedaran kepada pemilik perniagaan lain agar lebih berhati-hati terhadap syarikat yang sudah tidak beroperasi kerana masih boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya kongsikan perkara ini supaya pemilik perniagaan lain lebih berwaspada.

"Syarikat yang sudah lama tidak beroperasi masih boleh digunakan oleh sindiket penipuan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram