[VIDEO] Perompak bertopeng dan berparang mati ditembak di Sepang berbahaya, guna MO pulang ke negara asal lepas buat jenayah — Polis


  • 112
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Polis menembak mati tiga penjenayah warga asing yang dikategorikan ganas dan berbahaya di Desa Vista dekat Sepang pada awal pagi Jumaat.

POLIS menembak mati tiga penjenayah warga asing yang dikategorikan ganas dan berbahaya di Desa Vista dekat Sepang, Selangor pada awal pagi Jumaat.

Ketiga-tiga penjenayah lelaki dilaporkan aktif melakukan 17 kes samun dan pecah rumah di sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sejak awal tahun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, semua suspek dikesan bersembunyi di kawasan hutan selepas cuba menyamun sebuah kediaman di kawasan perumahan berhampiran di Desa Vista pada pukul 3 pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mungkin ALLAH nak beri saya syurga', kakak sabar jaga adik hilang tempurung kepala, terlantar akibat kemalangan ragut nyawa ibu bapa

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan saja-saja nak gigit, peniaga tular serang anggota penguat kuasa DBKL dakwa kena tendang, dikasari pegawai sebelum kejadian

"Suspek dikesan selepas alat penggera keselamatan sebuah rumah yang menjadi sasaran kumpulan jenayah ini berbunyi sebelum pemiliknya menyedari kelibat suspek.

"Pada masa sama, pemilik rumah menghubungi polis sebelum semua elemen Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) digerakkan untuk mengesan suspek secara serta-merta," katanya pada Jumaat.

Tambah Fadil lagi, suspek dapat dikesan di kawasan hutan dan cuba menyerang pasukan polis dengan parang ketika cuba menahan menahan mereka.

"Susulan dari itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan bagi tujuan mempertahankan diri kerana suspek yang berusia dalam linkungan 35 dan 40 tahun menyerang polis menggunakan parang.

"Ketiga-tiga suspek ini disahkan mati di lokasi kejadian," katanya.

 

 

 

 

Jelas beliau lagi, suspek dianggap ganas dan berbahaya kerana tidak teragak-agak mencederakan mangsa yang cuba melawan mereka.

"Sebagai contoh dalam kes samun di Sungai Buloh, mangsa samun kumpulan ini cedera ditetak selepas dikatakan cuba melawan mereka.

"Sasatan awal mendapati semua suspek bergiat aktif dalam jenayah samun dan pecah rumah membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta dan suspek bertanggungjawab terhadap 17 kes sejak awal tahun lepas, termasuk tiga kes semasa bulan Ramadan," katanya.

Tambah Fadil lagi, semua suspek akan pulang ke negara asal mereka selepas melakukan jenayah dan akan kembali ke Malaysia untuk meneruskan kegiatan jenayah mereka.

"Kami sedang mengesan dua lagi suspek yang dipercayai dari kumpulan perompak yang sama.

"Mayat telah dibawa ke Hospital Serdang, Selangor untuk bedah siasat," katanya.

Fadil turut memberi amaran bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melakukan jenayah, terutamanya jenayah ganas.

"Kami akan mencari mereka di mana sahaja.

"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang berani melakukan jenayah ganas di negara ini," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman CCTV rumah memaparkan suspek memecah masuk salah sebuah rumah mangsa melalui kawasan belakang di Desa Vista.

Dalam kejadian itu suspek dilihat bersenjata parang dan bertopeng bagi mengelak mukanya dikesan.

Namun, cubaan suspek untuk memecah masuk rumah berkenaan gagal selepas alat penggera keselamatan rumah tersebut berbunyi dan suspek terus melarikan diri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram