
SEORANG remaja berusia 16 tahun cedera parah dirempuh sebuah kenderaan dipandu warga emas lelaki di sebuah jalan raya berhampiran pekan Sungai Balang Besar, Muar, Johor pada Rabu.
Mangsa yang juga penunggang motosikal difahamkan tercampak ke bawah kereta terbabit selepas dirempuh kereta jenis Corolla Altis berwarna putih tersebut.
Disedari orang awam, insiden kemalangan itu kemudiannya dibantu beberapa individu yang tampil menyelamatkan remaja berkenaan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan yang melibatkan dua kenderaan terbabit pukul 9.40 malam.
“Hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa seorang pemandu lelaki tempatan berusia 67 tahun berhenti di kiri jalan arah Batu Pahat menghala ke Parit Jawa.
“Sebaik keluar dari bahu jalan tersebut, kereta berkenaan telah dilanggar motosikal ditunggang mangsa yang sedang bergerak terus dari arah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, kemalangan tersebut menyebabkan pemandu warga emas itu hilang kawalan dan merempuh sebuah rumah kedai di kawasan terbabit.
Remaja berkenaan cedera parah di bahagian kaki dan kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
“Pemandu dibawa ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk menjalani ujian saringan awal air kencing serta ujian pernafasan.
“Ujian toksologi tidak terkesan elemen dadah dan alkohol pada pemandu kereta,” ujarnya.
Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh dipenjara tidak lebih 12 bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram