Senasib syiling, not kertas RM1 dianggap tiada nilai jadi duit raya, generasi muda lebih suka terima 'e-Wallet'


  • Massa
  • Isnin, 10 Mac 2025

Seiring dengan peredaran zaman, duit raya digital mungkin bakal menjadi norma dalam sambutan Aidilfitri. 

PEMBERIAN duit raya dalam bentuk digital semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Malaysia, seiring dengan era kemajuan teknologi kewangan. 

Tatkala kebanyakan anak-anak kini memiliki akaun bank sendiri, trend ini dilihat bakal menggantikan pemberian wang tunai secara fizikal, khususnya bagi nilai kecil seperti RM1 yang semakin hilang nilainya dalam peredaran ekonomi.

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir berkata, pemberian duit raya digital kini bukan sekadar alternatif, tetapi menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat moden. 

BACA LAGI : [VIDEO] Terkandas sejak Disember, ramai setuju jika kapal layar Rusia dijadikan tarikan pelancongan di Sarawak

BACA LAGI : 'Halalkan segalanya, moga ALLAH ampunkan dosa saya', fisioterapis akui gementar jalani pembedahan implan tempurung kepala

"Perkembangan aplikasi perbankan digital dan e-Dompet atau e-Wallet memudahkan proses pemberian tanpa perlu menukar wang kecil atau mencari sampul raya. 

"Sekarang ini, kalau nak beri duit raya, anak-anak yang sudah ada akaun bank lebih cenderung menerima secara digital. Ia lebih mudah dan selamat," katanya kepada Majoriti.

 

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir

Fenomena itu juga dilihat selari dengan perubahan nilai wang kertas kecil di pasaran. 

Wang kertas RM1 yang dahulunya mencukupi untuk membeli makanan ringan atau mainan kini semakin kurang digunakan kerana harga barangan telah meningkat. 

"Jika dahulu, RM1 masih boleh digunakan untuk membeli barangan seperti keropok, kuih-muih dan minuman ringan, namun kini jumlah tersebut hampir tidak mencukupi bagi kebanyakan transaksi. 

"Dulu, dengan RM1 boleh beli aiskrim atau 'jajan', tetapi sekarang kebanyakan barang sudah naik harga. Kalau nak bagi duit raya, RM2 atau lebih sudah menjadi kebiasaan.

"Keadaan ini mengingatkan kepada nasib syiling seringgit yang pernah digunakan secara meluas sebelum ia dihentikan pengeluarannya pada tahun 2005 akibat masalah pemalsuan dan penyusutan nilai. 

"Kini, ada kebimbangan bahawa wang kertas RM1 juga bakal mengalami nasib yang sama sekiranya kuasa membelinya terus merosot," tambahnya.

RM1 masih boleh digunakan untuk membeli barang seperti minuman ringan, namun kini jumlah tersebut hampir tidak mencukupi bagi kebanyakan transaksi. — Gambar hiasan

Namun, Shamsuddin tidak menafikan ada juga golongan yang masih mengekalkan tradisi pemberian wang tunai, terutama dalam kalangan warga emas. 

"Orang tua masih suka beri duit raya secara fizikal kerana ia lebih terasa 'nilai' dan tradisi. Mereka tetap akan hulur, walaupun jumlah kecil.

"Tetapi jika melihat dengan aplikasi e-Dompet yang menawarkan pelbagai promosi seperti diskaun, pulangan tunai dan lain-lain ganjaran berasaskan kesetiaan, golongan muda lebih memilih digital.

"Tidak mustahil suatu hari nanti, semua duit raya diberikan secara digital dan tiada lagi penggunaan wang kertas," ujar beliau.

Tambah Shamsuddin lagi, seiring dengan peredaran zaman, duit raya digital mungkin bakal menjadi norma dalam sambutan Aidilfitri. 

"Lebih selamat dan ibu bapa boleh duit yang anak mereka terima sekali gus boleh merancang simpanan anak mereka dengan membeli saham atau emas. 

"Tambahan pula sekarang ini banyak pelaburan patuh syariah seperti pelaburan emas atau mereka boleh menyimpan duit tersebut di Tabung Haji dan sabagainya," katanya. 

Shamsuddin juga mengakui, penggunaan e-Duit Raya seperti e-Dompet dan pengimbasan Kod QR dilihat lebih cepat dan mudah berbanding kaedah konvensional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram