
DUA kelab tersohor tanah air iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC dijangka tidak beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim hadapan.
Perkara itu didedahkan pemerhati sukan Zulhelmi Zainal Azam menerusi ciapan di laman X pada Rabu.
Difahamkan, kedua-dua pasukan itu terpaksa angkat kaki dari liga tempatan susulan isu luar padang yang melanda pada musim 2024/25.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan buat benda bomoh, pemilik Buriram United hanya berdoa sebelum tewaskan JDT
Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laporan media tempatan turut mendedahkan perkara itu yang menurutnya satu kehilangan besar buat arena bola sepak negara.
"Saya terpaksa cakap selamat tinggal kepada sahabat saya, bapa saudara saya Tengku Muda dan kepada pasukan legenda yang banyak sejarah macam Pahang. Kerana tahun depan Pahang tiada lagi.
"Bubar terus pasal ada masalah dalam Pahang. Jadi, bagi kita ini berita sedih. Macam Kedah, satu lagi pasukan bersejarah pun tiada pada tahun depan," katanya.
Sedih dengan berita tersebut, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berharap agar kedua-dua kelab berkenaan segera memperbaiki kelemahan dan kemelut dihadapi agar ada sinar buat mereka kembali beraksi dalam Liga M kelak.
Ia sekali gus menyaksikan skuad Tok Gajah bakal membuat aksi terakhir dalam saingan domestik menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas final Unifi Piala Malaysia musim 2024/25 April nanti— Majoriti
Follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram