[VIDEO] 'Jiran bantu permudah urusan pengebumian', lelaki kongsi betapa mesranya hubungan Melayu-India


  • Tular
  • Selasa, 11 Mac 2025

Krishna menyeru masyarakat agar tidak menghukum sesuatu kaum secara keseluruhan hanya kerana tindakan segelintir individu.

MALAYSIA sejak sekian lama dikenali sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan agama, namun tetap teguh dalam semangat perpaduan.

Rakyatnya sering menunjukkan keharmonian boleh dicapai melalui nilai-nilai saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.

Presiden Penaja Persatuan Pusat Gimnasium Malaysia, Krishna Kumar melalui satu hantaran Instagram miliknya berkongsi pengalaman bagaimana jiran-jiran berbangsa Melayu membantu mempermudahkan urusan pengebumian seorang lelaki India sekali gus membuktikan betapa eratnya hubungan antara kaum dalam negara.

BACA LAGI: Tak mahu beli baju raya, petanda Aisar Azim akan pergi selamanya

BACA LAGI: [VIDEO] Suami selamba berniaga di pasar saat jasad isteri anak ditemui berpelukan

Menurut Krishna, situasi itu juga mencerminkan semangat muhibah yang masih utuh dalam masyarakat.

Bercerita lanjut, Krishna berkata, kejadian itu berlaku pada minggu lalu apabila adik kepada rakannya seorang lelaki India meninggal dunia.

"Keluarga rakan saya menetap di kawasan perumahan teres yang dikelilingi oleh jiran-jiran berbangsa Melayu. Walaupun berbeza agama dan budaya, jiran-jiran ini dengan sukarela membantu melancarkan proses pengebumian.

"Dalam upacara keagamaan yang berlangsung selama kira-kira 20 minit, keluarga si mati memerlukan air untuk memandikan jenazah. Salah seorang jiran Melayu dengan segera menawarkan air dari rumahnya bagi memudahkan urusan tersebut," katanya menerusi satu perkongsian video pada Isnin.

 

 

 

 

Tambah Krishna lagi, menyedari keadaan cuaca yang panas terik, seorang lagi jiran memasang kanopi untuk memberi perlindungan kepada keluarga dan tetamu yang hadir.

"Tidak cukup dengan itu, jiran-jiran lain turut memainkan peranan penting. Seorang penduduk yang tinggal bersebelahan menawarkan ruang di hadapan rumahnya untuk diletakkan kerusi tambahan bagi menampung tetamu yang hadir.

"Jiran lain pula menyediakan tempat bagi meja makan serta menyumbangkan bekalan elektrik untuk kegunaan khemah," katanya.

Krishna turut tersentuh dengan tindakan tiga orang warga emas yang baru pulang dari solat tarawih turut singgah untuk menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga si mati sebagai tanda simpati.

Jelasnya, keikhlasan mereka menunjukkan betapa masyarakat Malaysia masih mengekalkan nilai-nilai kemanusiaan tanpa melihat perbezaan kaum.

Perkongsian itu menjadi bukti bahawa isu perkauman sering kali bukan berpunca daripada rakyat biasa, sebaliknya mungkin diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu.

Krishna turut menyeru masyarakat agar tidak menghukum sesuatu kaum secara keseluruhan hanya kerana tindakan segelintir individu.

“Kita hidup bermasyarakat, jiran-jiran dan rakan-rakan di tempat kerja semua boleh bergaul tanpa masalah. Jangan biarkan isu perkauman memecah-belahkan kita,” ujarnya.

Kisah itu juga mengingatkan kita bahawa keharmonian yang wujud dalam masyarakat adalah aset yang perlu dipelihara.

Sikap saling membantu tanpa mengira perbezaan kaum dan agama seharusnya terus menjadi amalan dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram