
BUAH tangan kumpulan nasyid popular, Raihan tidak pernah lekang daripada menjadi siulan walaupun semakin menyepi dari industri tempatan.
Memegang status kugiran nasyid nombor satu negara, pencapaian Raihan usah dipertikaikan lagi dengan setiap karya dihasilkan memiliki aura dan nadi tersendiri yang cukup ikonik di halwa telinga pendengar.
Memasuki bulan suci Ramadan, lagu Harapan Ramadan antara yang wajib menjadi peneman serta teladan masyarakat Islam menerusi bait lirik yang dihasilkan.
BACA LAGI: Bukan sekadar kisah cinta, 'Sejarah Mungkin Berulang' sarat nilai pengorbanan seorang ayah — Tomok
Merupakan lagu bertemakan Ramadan pertama dituai penggiat muzik tanah air pada 2007, langkah berani itu membuahkan hasil apabila kekal menjadi simbolik kepada kejayaan serta populariti kumpulan nasyid berkenaan sehingga ke hari ini.
Anggota kumpulan Raihan yang juga vokalis utamanya, Che Amran Idris, 57, menganggap lagu tersebut membawa 1,000 makna buat perjalanan seni Raihan di awal pembabitan mereka.
Che Amran Idris (tengah) merupakan vokalis utama kumpulan Raihan.
"Lagu ni sarat dengan harapan setiap insan di bulan Ramadan untuk menghargai insan tersayang, kerana siapa tahu ini Ramadan terakhir, jadi penuhilah dengan amal jariah dan kebaikan.
"Memang tak dinafikan Harapan Ramadan masih menjadi fenomena setiap tahun sebab tak banyak lagu bertemakan Ramadan dihasilkan, malah sampai ke luar negara Indonesia, Brunei, Thailand dan paling mengejutkan Afrika Selatan pun ramai yang nyanyi lagu ni.
"Mana-mana negara kami adakan konsert, mesti lagu ini yang jadi ingatan mereka. Malah, uniknya lagu ini membuatkan Raihan sentiasa diminati Alhamdulillah," katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut soal penghasilan lagu tersebut, idea asalnya dituai oleh penyanyi otai negara, Man Bai, 57, atau nama lengkapnya Abdul Rahman Osman.
Tampil unik mengetengahkan elemen Ramadan dalam lagu tersebut, gandingan duet penyanyi itu bersama Raihan disambut baik peminat dari serata dunia.
"Lagu ni asalnya cetusan idea daripada Man Bai bersama Farihin Abdul Fattah, mereka yang hasilkan lagu dan kemudian ia ditambah baik bersama anggota Raihan.
"Terfikir juga untuk hasilkan semula lagu ini dengan versi baharu, bahkan ada pernah berbincang tentang hal ni tapi tertunda sebab kesibukan masing-masing.
"Insya-ALLAH satu hari nanti akan disambung semula hajat itu, menarik kalau diberi nafas baharu Harapan Ramadan ni, jadi signatur sambutan Ramadan setiap tahun," tambahnya.
Dalam pada itu, Raihan baru-baru ini selesai merakamkan semula lagu Niat Puasa Ramadan yang ditambah baik dengan elemen bunyi instrumen muzik kanak-kanak.
Perkara itu bertujuan bagi mendekati golongan kanak-kanak untuk bersama-sama menunaikan rukun Islam keempat tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram