
SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan pihaknya bakal mengambil tindakan terhadap entiti yang cuba mengaitkan dengan isu penemuan wang tunai dan jongkong emas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
Katanya, parti tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus serta adil tanpa sebarang gangguan.
BACA LAGI: Ismail Sabri pengsan tak sedarkan diri, ramai doakan 'Pak Long' di hospital
BACA LAGI: SPRM reman 4 pegawai ada kaitan dengan Ismail Sabri
"Umno juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram selepas penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safehouse susulan serbuan dilakukan SPRM.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui pentadbiran negara.
Pihaknya setakat ini telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram