[VIDEO] Puting beliung landa Sekinchan, 8 kediaman rosak teruk


  • Tular
  • Khamis, 06 Mac 2025

Tangkap layar bencana ribut taufan yang melanda kawasan sawah Sekinchan pada Khamis.

PENDUDUK di sekitar Sungai Besar, Sekinchan, Selangor berdepan detik cemas apabila dilanda bencana puting beliung pada awal pagi Khamis.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi itu mengakibatkan kediaman di kawasan sawah musnah dibadai ribut taufan.

Deretan kedai dan rumah inap desa antara yang terjejas dengan atap dan bumbung bangunan terbabit kelihatan terbang melayang dalam kejadian tersebut.

BACA LAGI: ALLAH mahu kita sentiasa ingat-NYA waktu susah atau senang — Isteri Nabil Ahmad

BACA LAGI: Kartunis 'The Little Mamak' meninggal dunia akibat serangan jantung lepas pulang bazar Ramadan

Perkongsian dimuat naik di laman sosial memaparkan insiden yang berlaku dengan rata-rata penduduk terpaksa berputih mata menyaksikan kediaman mereka hancur.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerusi kenyataan pada Khamis berkata, panggilan kecemasan diterima sekitar pukul 7.48 pagi sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bergegas ke lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiupan angin kencang telah menyebabkan kerosakan lapan buah rumah di kawasan berkenaan.

"Bagi memastikan keselamatan penduduk, pihak bomba mengarahkan semua penghuni rumah yang terjejas untuk berpindah ke kawasan selamat.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati tiada mangsa mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian ini," katanya. 

Dalam perkembangan sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabak Bernam dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihaknya menjalankan rondaan dan pemeriksaan bagi membantu dan menilai status kerosakan.

"Keadian ribut sedang berlaku di sebahagian Sekincan dan Tanjung Karang. Semoga segalanya berada dalam lindungan ALLAH," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram