[VIDEO] Parlimen Serbia kecoh, pembangkang lempar bom asap, gas pemedih mata ketika sesi persidangan


  • Benua
  • Rabu, 05 Mac 2025

Suasana tegang di parlimen Serbia menyebabkan tiga mengalami kecederaan.

SUASANA kecoh tercetus di Parlimen Serbia apabila sesi persidangan dicemari dengan suasana tegang yang dicetuskan oleh blok pembangkang negara itu.

Menurut laporan di Serbia, situasi tersebut berlaku pada Selasa menyebabkan tiga ahli Parlimen mengalami kecederaan susulan balingan bom asap dan gas pemedih mata.

Tindakan ahli pembangkang itu adalah sebagai sokongan kepada demonstrasi pelajar susulan insiden runtuhan bumbung di sebuah stesen kereta api yang menyebabkan 15 orang terkorban, November lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Trump maki Zelensky depan media, Ukraine bakal hilang sokongan AS perangi Rusia

BACA LAGI: Tak nampak anak bulan, Brunei mula berpuasa pada Ahad

Semasa kejadian itu, ahli Parlimen di Serbia sepatutnya mengundi untuk meluluskan rang undang-undang meningkatkan dana bagi pendidikan universiti.

Namun begitu, pembangkang turut mendakwa yang blok kerajaan mahu meluluskan 12 undang-undang lain. Menurut mereka, pihak kerajaan perlu mengesahkan status Perdana Menteri, Milos Vucevic dan Kabinetnya sama ada mereka mempunyai sokongan yang mencukupi.

Suasana kecoh timbul selama sejam selepas persidangan bermula dengan blok pembangkang bersiul dan menaikkan kain rentang bertulis, "Serbia sudah bangkit, rejim akan jatuh!"

Ia disusuli dengan balingan bom asap dan gas pemedih mata. Malah, pengamal media Serbia turut mendakwa botol air dan telur turut dibaling semasa kejadian.

Tiga ahli Parlimen kemudiannya mengalami kecederaan dengan salah seorangnya, Jasmina Obradovic terpaksa dikejarkan ke hospital.

Menteri Pertahanan Serbia, Bratislav Gasic berkata, tindakan blok pembangkang itu mencerminkan agenda politik mereka, sekali gus memalukan negara itu.

"Tindakan mereka itu menjatuhkan maruah Serbia. Vandalisme yang dilakukan oleh ahli Parlimen pembangkang sudah mendedahkan personaliti sebenar dan agenda politik mereka," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram