
SEBANYAK 73 laporan diterima pihak polis berhubung video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio ERA FM iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin Amir Affendy.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis tidak memanggil individu lain untuk merekodkan keterangan mereka selain enam individu itu pada Rabu.
"Kami menyelesaikan siasatan dan merujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Kami menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes itu," katanya pada Khamis.
BACA LAGI: Polis Bukit Aman panggil 6 petugas radio terkait kandungan persenda upacara agama
BACA LAGI: Tiga penyampai ERA direhatkan serta-merta, Fahmi Fadzil arah MCMC buat siasatan penuh
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dan ketegangan antara rakyat berbeza agama dan kaum.
"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencetuskan ketegangan dan ketidakharmonian kaum," katanya.
Sebelum ini, seramai enam petugas stesen radio terbabit dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Kesemua individu juga akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi Seksyen 233 CMA pula, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari atas kesalahan itu diteruskan selepas sabitan. — The Star/FARIK ZOLKEPLI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram