Tiga penyampai ERA direhatkan serta-merta, Fahmi Fadzil arah MCMC buat siasatan penuh


  • Primer
  • Selasa, 04 Mac 2025

Radin (kiri), Azad (tengah) dan Nabil (kanan) memohon maaf kerana dikatakan mempersendakan kaum Hindu.

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil Astro Audio dan tiga penyampai ERA FM iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin Amir Affendy untuk membantu siasatan berkaitan kandungan mempersenda agama Hindu.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman yang penyampai radio itu mempersenda tarian kavadi Hindu yang suci sambil melaungkan "Vel Vel" sambil ketawa.

"Ia termasuklah memanggil Astro dan pihak pengurusan stesen radio untuk datang ke ibu pejabat SKMM untuk memberikan penjelasan penuh.

"Ini bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada," jelas Fahmi.

Fahmi Fadzil.

BACA LAGI: Ammar Nazhan: Jangan sampai menipu, serah kes kepada pihak berkuasa untuk siasat — Fahmi Fadzil

BACA LAGI: Tiada tol percuma musim perayaan kali ini, Kabinet bincang pendekatan bersasar — Fahmi Fadzil

Dalam masa yang sama, kandungan itu sudah dipadamkan dengan ketiga-tiga penyampai itu direhatkan serta-merta daripada mengendalikan segmen 3 Pagi Era sehingga diberitahu kemudian.

Azad, Nabil dan Radin turut membuat permohonan maaf secara terbuka akibat perbuatan yang dilakukan mereka.

"Kami tidak pernah berniat untuk menyakiti sesiapa, dan kami amat menghormati kepercayaan dan nilai dalam setiap individu. Kami akan lebih berhati-hati di masa depan.

"Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kesilapan yang tidak disengajakan. Tolong maafkan kami," jelas mereka bertiga.

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan yang dilakukan mereka itu melanggari prinsip Rukun Negara.

"Setiap tindakan yang mempersenda perasaan agama lain tidak boleh ditolak ansur dalam masyarakat berbilang kaum seperti kita.

"Saya ingatkan semua pihak untuk tidak mewujudkan ketegangan atau kebencian melibatkan penganut agama. Setiap tindakan yang boleh mengancam perpaduan dan keharmonian negara mesti diambil secara serius," jelasnya. — The Star/BENJAMIN LEE/TARRENCE TAN/RAGANATHINI VETHASALAM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram