Polis Bukit Aman panggil 6 petugas radio terkait kandungan persenda upacara agama


  • 112
  • Rabu, 05 Mac 2025

Radin (kiri), Azad (tengah) dan Nabil (kanan) sebelum ini memohon maaf kerana dikatakan mempersendakan kaum Hindu.

SERAMAI enam petugas sebuah stesen radio dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, enam individu yang dipanggil termasuk tiga penyampai radio stesen tersebut.

"Tiga lagi ialah pengarah Astro Audio, seorang eksekutif media sosial dan pengurus stesen radio," katanya pada Rabu.

Enam individu terbabit dijadualkan hadir kira-kira pukul 11 pagi.

BACA LAGI: Tiga penyampai ERA direhatkan serta-merta, Fahmi Fadzil arah MCMC buat siasatan penuh

BACA LAGI: [VIDEO] Mungkin tergelincir ketika kemas rumah, Ridz Okumura dedah kejadian sebenar isteri jatuh kondo di Subang Jaya

Kesemua individu juga akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Beliau berkata, sebanyak 44 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu itu setakat ini.

Katanya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Selasa, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil Astro Audio dan tiga penyampai ERA FM iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin Amir Affendy untuk membantu siasatan berkaitan kandungan mempersenda agama Hindu.

Ia selepas tularnya sebuah rakaman yang penyampai radio itu mempersenda tarian kavadi Hindu yang suci sambil melaungkan 'Vel Vel' sambil ketawa. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram