
PELAWAK terkenal, Harith Iskander dan individu bernama Cecilia Yap dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 seorang oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akibat memuatnaik kandungan jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada Januari lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan oleh MCMC pada Rabu, kedua-dua individu itu dikenakan kompaun berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mengikut pindaan yang dilakukan sebelum tarikh 11 Februari 2025.
Dalam masa yang sama, MCMC dapat proses untuk menutup akaun kedua-dua individu dan ia masih lagi dalam proses oleh Meta.
BACA LAGI: Tiga penyampai ERA direhatkan serta-merta, Fahmi Fadzil arah MCMC buat siasatan penuh
BACA LAGI: [VIDEO] Isu 'ham Harith Iskander: Tunggu laporan forensik MCMC — Ketua Polis Negara
"Selepas menerima permohonanan daripada MCMC, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ia melanggar garis panduan komuniti Facebook.
"Selain itu, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat. Permohonanan tersebut kini dalam penelitian pihak Meta," kata MCMC.
Dalam pada itu, kertas siasatan mengenai kes mempersenda agama oleh tiga penyampai radio ERA iaitu Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Khamis.
Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Mulitmedia 1998 dengan MCMC turut memanggil pihak Astro bagi merakamkan keterangan mereka.
Malah, Notis Niat turut diberikan oleh MCMC kepada pengendali stesen ERA dengan mereka perlu memberikan maklum balas dalam tempoh 30 hari.
"Notis Niat Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio ERA FM.
"Pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil," jelas MCMC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram