
DUA anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cedera diserang seorang penjaja ketika menjalankan pemantauan di Bazar Ramadan dan Aidilfitri di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Benteng, Kuala Lumpur pada Rabu.
Susulan itu, DBKL memandang serius insiden provokasi itu dan menegaskan bahawa peluang berniaga di bazar dibuka secara adil kepada semua yang berminat dan memenuhi syarat.
"Kadar sewaan tapak juga ditawarkan pada harga berpatutan bagi memastikan peniaga boleh beroperasi secara sah dan dalam suasana yang teratur.
"Langkah penguatkuasaan itu juga diambil bagi melindungi hak penjaja berlesen serta kesejahteraan warga kota," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] Jet Korea Selatan tersilap gugur 8 bom di kawasan perumahan
BACA LAGI: Harga santan naik hanya sementara, rakyat jangan panik — Mat Sabu
Menurutnya, pihak DBKL akan memberikan teguran dan notis kepada penjaja tanpa lesen sebelum sebarang tindakan diambil.
DBKL juga berkata, penguatkuasaan hanya dilakukan terhadap mereka yang mengingkari arahan dan beroperasi secara tidak sah.
"Bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang bertindak memprovokasi dan bertindak agresif terhadap petugas DBKL, menyebabkan kecederaan dalam kejadian terbaru ini.
"Berikutan itu, dua laporan polis telah dibuat dan pelaku telah diserahkan kepada pihak berkuasa," jelasnya.
DBKL pada masa sama menegaskan bahawa tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan agresif ke atas petugas yang menjalankan amanah demi kepentingan masyarakat.
Tambahnya, penguatkuasaan akan terus dijalankan secara adil dan tegas bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar yang tersusun, bersih, dan selamat untuk semua.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan insiden dua anggota DBKL yang diserang dan digigit pada tangan oleh seorang penjaja bazar Ramadan terbabit.
Kejadian juga berlaku ketika anggota terbabit sedang melakukan pemeriksaan terhadap para peniaga di tapak bazar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram