
KETIKA seseorang usahawan memulakan langkah dalam bidang perniagaan, aspek perundangan lazimnya menjadi perkara terakhir difikirkan.
Malah, ada ketikanya mereka langsung tidak mengendahkan mengenai perkara tersebut.
Disebabkan itu, adalah tidak menghairankan tahap literasi undang-undang dalam kalangan usahawan di Malaysia dianggap masih rendah.
BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah
Lebih menyedihkan, ramai daripadanya mengalami kerugian disebabkan kelemahan memahami syarat ditetapkan dalam membina sesebuah perniagaan.
Perkara itu diakui Pengasas SembangLegal.com, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi yang berpengalaman 10 tahun dalam mengetuai Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen (Peniagawati).
Sebagai individu yang juga berpengalaman 35 tahun dalam bidang guaman, Azlin memberi pandangan terhadap permasalahan berkenaan.
Turut berkongsi pendapat ialah Pengarah Urusan Naturalife Solution Sdn. Bhd., Ili Zawani Ismail, yang pernah berdepan kerugian disebabkan kurang pemahaman berkaitan undang-undang.
Apakah masalah dihadapi oleh usahawan berkaitan undang-undang?
Azlin: Sebanyak 80 peratus daripada 1.3 juta usahawan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah dalam kalangan usahawan mikro. Mikro merujuk kepada pendapatan RM200,000 ke bawah setahun atau mempunyai kurang lima pekerja.
Kebiasaannya, kumpulan ini apabila ditanya berkaitan masalah, mereka maklumkan menghadapi masalah kewangan, tetapi hakikatnya berdepan masalah berkaitan tidak memahami peruntukan undang-undang berkaitan perniagaan.
Cuba tanya sama ada mereka berdaftar dengan SSM atau tidak. Jika daftar, jenis perniagaan apakah didaftarkan? Enterprise, Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) atau perkongsian?
Pengasas SembangLegal.com, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi. — Sembang Legal
Ada perbezaan antara ketiga-tiga itu dari sudut undang-undang. Perbezaan antara setiap jenis perniagaan itu jika pada peringkat awal telah salah didaftarkan akan menjejaskan perniagaan pada masa depan.
Misalnya, peniaga batik di Pantai Timur yang transaksi perniagaan melibatkan jutaan ringgit dan usahawan yang bergelar jutawan ini mendaftarkan perniagaan mereka secara enterprise.
Mereka enggan daftar kepada Sdn. Bhd., kerana malas untuk membuat dan menghantar audit dan akaun kepada pihak berkuasa.
Sdn. Bhd., sukar dijaga kerana banyak syarat ditetapkan oleh SSM perlu dipatuhi. Golongan ini tidak sedar sekiranya enterprise disaman, segala aset peribadi mereka turut tergadai.
Konsepnya andai anda pemilik, anda dan enterprise adalah entiti yang sama serta tidak boleh dipisahkan.
Contoh lain, awak (wartawan) berurusan dengan enterprise untuk menghantar barang bernilai RM100,000, kemudian pemilik enterprise meninggal dunia, secara automatik enterprise itu juga ditamatkan serta-merta kerana pemilik dan enterprise adalah entiti sama.
Jadi, apabila pemilik meninggal dunia bagaimanakah awak akan dapat bayaran? Maka, awak kena tunggu faraid yang mungkin ambil masa dua tahun. Ini bahaya bagi mereka berurusan dengan enterprise.
Bagi situasi Sdn. Bhd,, pengarah meninggal dunia sekali pun anda tidak terkesan. Sdn. Bhd., ibarat manusia buatan yang mempunyai entiti tersendiri, ia tiada kena mengena dengan sesiapa yang meninggal dunia.
Jadi, adakah perniagaan perlu beralih kepada Sdn. Bhd.?
Sebelum pilih sama ada enterprise atau Sdn. Bhd., kamu perlu fikir jenis perniagaan dan rancangan perniagaan. Contohnya, perusahaan makanan sejuk beku sehingga ke pasaran Eropah, sudah tentu tidak boleh pilih enterprise.
la disebabkan ada perkara yang akan menyekat sasaran itu. Ada geran tertentu daripada kerajaan misalnya, hanya diberikan kepada Sdn. Bhd. Jadi, peringkat awal kena tahu apa yang ingin dilakukan. Kalau berniaga jenis mudah cukup sekadar enterprise.
Usahawan perlu memikirkan jenis perniagaan yang mahu dibangunkan sebelum memilih status pendaftaran bisnes. — Gambar hiasan
Itu cara memilih bukan kerana murah dan kawan suruh. Jika dibiarkan, usahawan kita terlalu lama pada tahap tiada pengetahuan seperti ini sampai bila mereka mampu bertahan. Ada yang hingga kontrak pun tiada apabila berurusan berkaitan jual beli barangan.
Perjanjian hanya berdasarkan janji mulut sebab tidak tahu nak buat kontrak.
Kes tipu membabitkan perniagaan jenis perkongsian juga kerap berlaku melibatkan rakan kongsi, ia disebabkan banyak perkara memerlukan kontrak tidak dibuat sebaliknya berpegang secara lisan.
Kesilapan juga kadangkala berpunca daripada sikap usahawan yang hanya tahu menandatangani dokumen tanpa membaca terlebih dahulu.
Misalnya, mereka menyewa premis tanpa membaca bahagian syarat yang pemilik berhak memberi notis sebulan meminta usahawan mengosongkan premis.
Bayangkan, perniagaan tengah maju tiba-tiba pemilik beri notis sebulan untuk dikosongkan. Bagaimanakah anda nak buat? Kalau nak heret ke muka pengadilan pun tidak membawa apa-apa makna kerana syaratnya telah dipersetujui.
Adakah stigma bertemu peguam memerlukan kos tinggi jadi punca ramai usahawan mikro mengelak membuat perjanjian, kontrak dan sebagainya?
Lazimnya, sekali bertemu peguam memerlukan sekurang-kurangnya RM500. Nak jumpa tiada duit, nak buat sendiri tidak tahu jadi sebab itu saya perkenalkan SembangLegal. com pada harga RM299 setahun.
SembangLegal.com adalah portal nasihat guaman pertama di Malaysia membincangkan aspek undang-undang tentang perniagaan khusus bagi usahawan mikro untuk membina komuniti usahawan celik undang-undang di Malaysia.
Memandangkan undang-undang adalah satu subjek yang serius dan sukar difahami, kami mengambil pendekatan berbeza dalam penyampaian ilmu ini.
Aspek undang-undang disampaikan dengan cara dan bahasa mudah dan diselitkan juga dengan aplikasi aspek undang-undang ini dalam perniagaan.
Perkongsian ilmu ini akan dibuat melalui teks, video dan audio siar sesuai dengan era digital masa kini dan juga untuk memudahkan akses dalam talian bagi usahawan di seluruh negara.
Sudah sedekad anda dalam bidang ini, pernahkah berlaku kesilapan mengundang kerugian?
Ili Zawani: Sudah tentu, seperti buka syarikat Sdn. Bhd. dalam jumlah yang banyak dengan sebahagian daripadannya dibiarkan tidak aktif. Kemudian, tidak sedar walaupun tidak aktif, ia masih memerlukan beberapa perkara mengikut peruntukan undang-undang.
Antaranya menghantar minit mesyuarat agung tahunan (AGM), cukai dan beberapa dokumen lain.
80 peratus daripada 1.3 juta usahawan berdaftar dengan SSM adalah usahawan mikro. — Gambar hiasan
Apabila ada situasi seperti SSM ingin bantu dalam sesuatu perkara tiba-tiba tidak boleh disebabkan tersangkut hal berkaitan syarikat tidak aktif itu.
Disebabkan tidak tahu menyebabkan saya pernah didenda. Kesilapan itu menyebabkan mengalami kerugian kerana bukan satu syarikat tidak aktif, tetapi tetapi jumlahnya banyak.
Jumlah denda itu melibatkan puluhan ribu ringgit, kalau hantar minit mesyuarat dan sebagainya tiadalah membazir sebanyak itu. Denda ini pula bukan hanya melibatkan syarikat, malah pengarah syarikat.
Bila anda sedar kepentingan celik undang-undang dalam perniagaan?
Saya mula sedar bila nak buka syarikat baharu. SSM tidak benarkan kerana bersangkut hal berkaitan syarikat tidak aktif. Kemudian tahu didenda apabila SSM keluarkan notis untuk selesaikannya sekitar tiga tahun lalu.
Sebenarnya, ramai usahawan ambil mudah ketika ingin memulakan sesuatu perniagaan. Ada syarat dan peraturan yang telah dimaklumkan sebelum sesuatu dokumen itu ditandatangani. Ada yang baca, tetapi terlupa, ada juga terus tandatangan.
Jadi, apabila perniagaan sudah beroperasi fokus usahawan kepada hal berkaitan undang-undang diketepikan sebaliknya masing-masing memberi tumpuan kepada perniagaan.
Apabila nak kembangkan perniagaan atau dapat notis baharu tersedar disebabkan kealpaan itu, maka berlaku kesilapan yang akhirnya menyebabkan kerugian. Namun, di sebalik denda itu, usahawan masih diberi peluang untuk membayarnya dalam jumlah lebih rendah dalam tempoh masa tertentu.
Nasihat anda kepada bakal usahawan bagi mengelak melakukan kesilapan berkaitan undang-undang?
Pertama, mahu atau tidak perlu celik undang-undang. Ini perkara awal harus diambil tahu sebab apabila sudah terkena ia tidak boleh dielak lagi dan menjadi pengalaman cukup mahal. Mahal ini bermaksud tidak pasal-pasal kena keluarkan duit yang banyak kerana terleka.
Celik undang-undang bukan bererti perlu tahu semuanya jika tidak lambat perniagaan akan beroperasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram