
SEORANG kanak-kanak lelaki hilang dan dikhuatiri lemas di sungai Kampung Baginda, Keningau, Sabah pada Khamis.
Memetik laporan Info X, mangsa, Zulfazli Azrul, 6, disedari hilang oleh keluarganya pada pukul 12.15 tengah hari selepas menemui seliparnya di tepi sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah.
Susulan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.18 petang.
BACA LAGI: AirAsia pindah semula penerbangan domestik dari Subang ke KLIA2 berkuat kuasa 7 April
Beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Pasukan penyelamat melakukan pencarian di kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang.
"Operasi pencarian turut dijalankan di tebing sungai sejauh kira-kira 100 meter bersama penduduk kampung," katanya pada Khamis.
Katanya, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi pencarian masih diteruskan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram