
PELAKON dan pengacara televisyen, Uyaina Arshad, 33, menyuntik semangat dalam dirinya untuk keluar dari zon selesa dengan menceburi dunia perniagaan.
Ibu kepada dua anak itu sebelum ini mengikuti kursus pendek dalam kepimpinan dan keusahawanan pada Disember tahun lepas di Universiti Oxford, United Kingdom.
Berkongsi lanjut beliau menyifatkan ia adalah pengalaman berharga sukar dilupakan, apatah lagi berpeluang mempelajari ilmu keusahawanan di Oxford, sebuah universiti unggul.
BACA LAGI: Trackday uji kehebatan kenderaan, hujan tingkatkan adrenalin pemandu di SIC Sepang
BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan pantas pelancong wanita Malaysia selamatkan pemuda lemas depan mata kawan-kawan di Sri Lanka
"Biasanya, kursus (pendek) ditawarkan secara dalam talian, jadi pengalaman berada di Oxford secara langsung membuatkan saya rasa ‘wow’ dan sangat gembira.
"Saya belajar banyak perkara mengenai perniagaan, keusahawanan dan kepimpinan. Insya-ALLAH akan memanfaatkan pengetahuan ini pada masa hadapan.
"Saya kini berada di tahap kehidupan ingin memulakan perniagaan sendiri. Perniagaan bukan hanya tentang menjual, tetapi juga mengenai bagaimana untuk mengurus dan memimpin (perusahaan) tersebut," katanya.
Uyaina berharap komitmen untuk terus melanjutkan pendidikan memberi inspirasi kepada generasi muda.
Uyaina, yang memiliki ijazah undang-undang daripada Universiti Malaya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana suatu hari nanti.
"Tetapi saya perlu mengambil langkah demi langkah," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap hasratnya terus belajar memberi inspirasi kepada generasi muda terutamanya bagi mereka yang baru tamat sekolah menyambung pengajian peringkat lebih tinggi dan tidak jemu mencari ilmu.
Beliau yang juga pelakon dan mempunyai jumlah pengikut sebanyak 1.8 juta di Instagram itu turut meluahkan kebimbangan minat generasi hari ini semakin berkurangan dalam melanjutkan pengajian tinggi dek terpengaruh media sosial.
"Ini adalah era media sosial. Namun, kita tidak tahu apa akan berlaku dalam 10 atau 20 tahun akan datang apabila platform seperti Instagram atau TikTok mungkin tidak lagi relevan.
"Apa akan berlaku jika tiada pendidikan?" soalnya.
Uyaina percaya bahawa pendidikan tinggi bukan sahaja bertujuan untuk memperkukuh kelayakan akademik seseorang, bahkan memainkan peranan penting membentuk personaliti dan kemahiran sosial, kepimpinan dan komunikasi, seterusnya membina identiti.
"Apabila memiliki ilmu, ia juga membantu kita untuk bekerja dalam pasukan dan berkomunikasi dengan berkesan. Semua ini adalah perkara dipelajari melalui pendidikan tinggi. Jadi, jangan ambil mudah atau anggap remeh terhadap pendidikan," tambahnya.— TheStar
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram