
PERKHIDMATAN domestik AirAsia akan berpindah dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, Selangor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bermula 7 April nanti.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, langkah tersebut bertujuan mengoptimumkan operasi di kala peningkatan permintaan pelanggan.
"Walaupun Lapangan Terbang Subang adalah mudah, terutamanya untuk ke bandar tetapi, pembangunan semulanya untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa.
"Dalam pada itu, syarikat penerbangan itu akan menyatukan operasinya di KLIA2 untuk meningkatkan kecekapan dan keselesaan penumpang secara keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
BACA LAGI: Polis rampas 6 jenis ubat dari rumah Ridz Okumura, siasat kemungkinan Akiko Okumura kemurungan
BACA LAGI: [VIDEO] Tak puas hati kena tindakan, penguat kuasa DBKL digigit penjaja bazar Ramadan tanpa lesen
AirAsia juga berkata, dengan jumlah penumpang dari Kuala Lumpur ke destinasi utama seperti Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak meningkat dengan ketara pada 16 peratus tahun ke tahun, penggabungan operasi di KLIA2 akan membolehkan syarikat penerbangan itu menampung peningkatan trafik dengan lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, infrastruktur KLIA2 menyokong keperluan sambungan secara berskala, terutama ketika waktu puncak.
"Ia juga menawarkan kapasiti yang diperlukan untuk pertumbuhan berterusan apabila kami meningkatkan lebih banyak penerbangan untuk memenuhi permintaan yang tinggi di seluruh laluan Malaysia Timur," katanya.
Katanya, dalam memastikan peralihan lancar, syarikat penerbangan itu akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang pada minggu Hari Raya bagi membolehkan majoriti penumpang untuk bercuti mendapat manfaat daripada kemudahannya sebelum pertukaran tersebut.
"Sesi perundingan positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan kami sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih luas dan matlamat sambungan jangka panjang," tambahnya.
Sementara itu, AirAsia memulakan operasinya dengan dua laluan di Lapangan Terbang Subang iaitu Kuching dan Kota Kinabalu pada 30 Ogos 2024. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram