Tiada lesen untuk peniaga vape di bawah MBPJ


  • Primer
  • Khamis, 27 Feb 2025

Jamaliah berkata, penguatkuasaan pendaftaran produk vape akan bermula pada 1 April.

MAJLIS Bandaraya Petaling Jaya menafikan memberi lesen kepada peniaga vape untuk beroperasi di Petaling Jaya, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Selangor, Jamaliah Jamaluddin. 

Premis yang didapati menjual rokok elektronik itu akan dikenakan kompaun, kata beliau sebagai jawapan balas kepada Dr Afif Bahardin (PN - Taman Medan) yang bertanyakan mengenai penjualan vape di kawasannya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam. 

Dr Afif sebelum itu berkata, sesetengah penjual vape dilihat begitu berani mempamerkan papan tanda besar di luar premis mereka. 

BACA LAGI: [VIDEO] Wanita hamil terkandas tanah runtuh di Sabah, bayi hampir lemas dalam kandungan selamat dilahirkan

BACA LAGI: [VIDEO] Bergelar peguam tetapi jiwa terarah pada fesyen, label Nuria jadi medium buat Zaznuriah berkreatif

"Terdapat kedai vape bersebelahan klinik serta di hadapan sekolah di Taman Medan," katanya. 

Jamaliah berkata, negeri itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Selangor untuk memantau penggunaan rokok elektronik, dari sudut kesihatan. 

Inisiatif itu sejajar dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852). 

Akta itu meliputi peraturan mengenai pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam, yang juga terpakai kepada rokok elektronik.

Jamaliah berkata, penguatkuasaan terhadap pendaftaran produk vape dan peraturan penjualannya di kaunter pameran akan bermula pada 1 April, manakala penguatkuasaan ke atas pembungkusan dan pelabelan produk akan bermula pada 1 Oktober.

"Pihak berkuasa tempatan juga akan terlibat dalam operasi penguatkuasaan ini," katanya.

Sebagai tambahan kepada langkah-langkah ini, Jamaliah berkata, MBPJ tidak lama lagi akan mengadakan bengkel untuk menangani isu vape.

Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk memantau kandungan rokok elektronik, khususnya nikotin antara bahan kimia lain yang boleh membahayakan kesihatan.

Langkah lain termasuk menyelia penggunaan rokok elektronik di tempat awam terutama di sekolah, hospital dan premis makanan serta meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kesan bahaya rokok elektronik.

“Kempen kesedaran ini akan dijalankan dengan kerjasama ketua masyarakat dan sukarelawan kesihatan, seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Negeri Selangor.

“Mereka akan bertindak sebagai ejen penyampai maklumat negeri kepada penduduk setempat dan akan bertanggungjawab menjalankan kempen advokasi dan kesedaran,” tambah Jamaliah. — TheStar/SHEILA SRI PRIYA 

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram