[VIDEO] Waspada taktik mencuri, staf kedai kosmetik di KL kononnya hampir dipukau lelaki mencurigakan


  • Tular
  • Rabu, 05 Mac 2025

Tangkap layar video memaparkan kejadian yang berlaku di sebuah kedai kosmetik di Kuala Lumpur pada 19 Februari lepas.

ORANG ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan taktik atau modus operandi mencurigakan di tempat awam bagi mengelak daripada ditimpa kesulitan.

Ia selepas tularnya sebuah video memaparkan situasi beberapa pekerja sebuah kedai menjual barangan kosmetik di Kuala Lumpur yang kononnya hampir dipukau seorang lelaki dalam kejadian pada 19 Februari lepas.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan di akaun TikTok premis terbabit, kejadian berlaku ketika lelaki tersebut seakan-akan mahu membuat bayaran di kaunter.

BACA LAGI: Polis ambil keterangan nenek, ibu saudara lepas ibu bapa bantu siasat kematian Hud Aryan

BACA LAGI: [VIDEO] Mungkin tergelincir ketika kemas rumah, Ridz Okumura dedah kejadian sebenar isteri jatuh kondo di Subang Jaya

Individu itu pada masa sama berkelakuan pelik apabila dikatakan beberapa kali berubah fikiran dengan meminta pekerja kedai membatalkan pembelian sebelum bertindak seolah-olah mahu membeli semula.

Dalam video sama, lelaki berbaju hijau dan bertopi merah jambu itu juga didakwa cuba memperdayakan pekerja untuk mengembalikan wang kertasnya RM100 yang sudah disembunyikannya. 

Tindakan itu bagaimanapun dilihat tidak berhasil selepas seorang pelanggan menghampiri mereka dan cuba membantu menyelesaikan kekecohan yang berlaku.

Ia sekali gus membuatkan lelaki terbabit berputus asa dan berlalu pergi dari premis itu. 

Bagaimanapun, tiada sebarang kerugian dilaporkan setakat ini dan belum ada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian. 

Meskipun demikian, kejadian itu tetap membuatkan mereka cemas dan berjaga-jaga apabila ada pelanggan mendakwa pernah berdepan situasi hampir serupa dengan individu yang sama. 

"Pernah kena dengan lelaki ini juga masa saya jaga kaunter. Dia cuba nak pukau saya guna duit RM100 untuk beli air, tetapi nasib baik saya sedar dan tak termakan," komen @ice_peachteaa.

"Team saya pun kena sama minggu lepas. Lelaki dengan baju yang sama, tolong buat laporan polis," @cunieismyname's. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram