[VIDEO] Mungkin tergelincir ketika kemas rumah, Ridz Okumura dedah kejadian sebenar isteri jatuh kondo di Subang Jaya


  • Massa
  • Rabu, 05 Mac 2025

Akiko (kanan) disahkan meninggal dunia pada Jumaat minggu lalu.

USAHAWAN terkenal, Abd Ridzuan Abdul Mutalib mendedahkan kejadian sebenar yang berlaku ketika isterinya, Akiko Okumura dimaklumkan meninggal dunia pada Jumaat minggu lalu. 

Tidak mahu pelbagai spekulasi negatif tersebar, Abd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Ridz Okumura membuat penjelasan secara terbuka menerusi siaran langsung di akaun TikTok pada Selasa. 

Meskipun perit untuk diluahkan, Ridz berusaha menceritakan kronologi kejadian tersebut selepas kenyataan dikeluarkan pihak polis. 

BACA LAGI: Wanita Jepun jatuh tingkat empat kondo Subang Jaya sah isteri Ridz Okumura

BACA LAGI: 'ALLAH pinjamkan Muhammad Darwisy sekejap', bayi lelaki Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

Menurutnya, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang fitnah serta menjejaskan kesihatan mental anak lelakinya, Sky Taizo Okumura yang masih bersekolah. 

Menceritakan kembali detik-detik kejadian, Ridz berkata, mereka sekeluarga pada awalnya berada di rumah malam itu selepas melakukan siaran langsung di TikTok bersama. 

Beberapa jam sebelum tidur, dia terdengar bunyi dentuman kuat kira-kira pukul 1 atau 2 pagi seakan-akan berlaku sebuah kemalangan di kawasan rumahnya di Subang Jaya, Selangor.

"Selalunya kalau saya dengar bunyi seperti itu memang akan panggil isteri abang untuk tengok, tetapi malam itu macam tak ada rasa nak panggil dia.

"Abang terus tidur dan bangun seperti biasa waktu Sky nak bersiap ke sekolah.

"Waktu bersiap itu, Sky tak jumpa seluar. Selalunya arwah akan sediakan semuanya, kelengkapan Sky. Tetapi hari itu tidak, makanan pun tiada atas meja," katanya sambil menahan sebak. 

Katanya, situasi itu sekali gus menimbulkan rasa hairan dan bertindak untuk mencari Akiko di sekitar rumah. 

"Abang dah rasa tak sedap hati dan terus pergi bilik sebelah, jendela dah terbuka. 

"Jadi, abang lari ke bilik air utama, panjat dan tengok ke bawah. Abang nampak arwah dah jatuh.

"Abang terus panggil Sky untuk tengok kejadian itu. Arwah juga sebenarnya bukan jatuh di batu tetapi atas tanah (tertiarap)," dedahnya. 

Dia juga berkata, Akiko berkemungkinan tergelincir ketika sedang membersihkan rumah dan menyangkal dakwaan arwah isterinya bertindak untuk terjun ke bawah. 

Ia bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan kerana dia tidak melihat kejadian ketika Akiko sedang jatuh. 

Ridz pada masa sama cuba mengejut dan memanggil arwah Akiko sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak berkuasa. 

Menurutnya, kejadian itu turut meninggalkan kesan trauma pada diri dan anak tunggalnya.

Justeru, Ridz memohon agar orang ramai tidak lagi membuat andaian negatif berhubung kejadian berkenaan. 

Penjelasan terbuka itu juga dikatakan dilakukan selepas beberapa kali memberi keterangan kepada pihak polis. 

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan status mangsa yang merupakan isteri kepada Ridz Okumura.

Polis juga memberitahu bahawa kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pihaknya bagaimanapun tetap menjalankan siasatan secara menyeluruh sekiranya terdapat unsur jenayah yang berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram