SESETENGAH masyarakat kampung di negara ini mengamalkan tradisi menggunakan paluan gendang, kompang dan alunan serunai untuk mengejutkan penduduk setempat bagi membolehkan mereka bangun bersahur.
Tradisi itu bukan sahaja diamalkan di luar negara seperti Mesir dan Indonesia malah juga giat diamalkan bagi sesetengah kawasan di Malaysia.
Malah, terdapat juga sesetengah perkampungan yang mengamalkan tradisi 'ketuk-ketuk Ramadan' lebih daripada 70 tahun.
Bercakap soal itu, menerusi satu hantaran di Facebook, seorang penceramah bebas, Mohd Masri Mohd Ramli berpendapat agar masyarakat menolak budaya itu.
Mohd Masri berkata demikian di Facebook sebagai respons terhadap satu poster pertandingan Kasi Bangun Sahur yang dibuat di perkampungan-perkampungan kecil di Tawau.
Dia menyifatkan tradisi itu mencacatkan ibadah sahur yang merupakan sunah Rasulullah S.A.W.
"Baca al-Quran kuat-kuat sampai ganggu orang seperti di pembesar suara luar masjid pun kita tak setuju. Inikan pula budaya buruk yang datang entah dari mana.
"Ia mengganggu bayi tidur, orang ibadah di waktu malam, orang sakit, bukan Muslim dan lain-lain," tulisnya.
BACA LAGI: Harus hukum berbuka dengan bersetubuh tapi jangan abai adab di sisi Islam — Dr Zulkifli
Mohd Masri berpendapat ketuk-ketuk sahur yang sering dibuat pada Ramadan perlu ditolak, namun mufti menegaskan perkara itu tidak berlawanan dengan hukum syarak.
Mohd Masri turut berharap agar masyarakat menggunakan waktu bersahur untuk memohon keampunan daripada ALLAH.
Memberikan pendapat berbeza, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, tradisi itu tidak seharusnya ditolak atau diterima secara mutlak.
"Mana-mana ajaran Islam ini diraikan. Tidak boleh secara mutlak dilarang atau digalakkan. Bergantung dengan realiti yang ada.
"Tradisi ini kita lakukan secara tidak mengganggu (awam). Kalau mengganggu, boleh menimbulkan ketidaktenteraman, jadi tidak bolehlah," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, Mohamad Shukri menegaskan bahawa tradisi itu sama sekali tidak berlawanan dengan hukum syarak.
"Macam dulu nak solat kita pakai beduk, jadi saya ingat perkara ini tidak akan mengganggu masyarakat sebab tradisi ketuk-ketuk ini bukan bising macam muzik-muzik rock," katanya.
Untuk mengelakkan daripada berpotensi mengganggu orang bukan Islam di samping anak kecil atau masyarakat lain yang sedang beribadah, Mohamad Shukri juga mencadangkan agar tradisi itu dibuat tanpa menggunakan mikrofon.
"Kita tak galakkan guna mikrofon diperdengarkan secara yang boleh mengganggu (kuat)," katanya.
Sementara itu, Mohamad Shukri turut berasakan bahawa tradisi yang turut diraikan di negara lain itu mampu menghidupkan bulan Ramadan.
"Pengalaman saya di Mesir dahulu, memang ada kejutkan orang untuk bangun bersahur.
"Di Mesir guna alat muzik yang diperbuat daripada buluh, sesetengah itu pakai gendang kecil. Jadi kita pun bangun dalam pukul 3.30 pagi," tulisnya.
Mohamad Shukri beranggapan isu itu tidak seharusnya berbangkit memandangkan banyak perkara lain yang lebih menimbulkan gangguan seperti bermain mercun dan bunga api.
"Mercun dan bunga api juga mengganggu kanak-kanak, orang sakit tetapi tidak dipertikaikan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram