Pindaan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak berkuat kuasa 3 Mac, kerajaan tekad iktiraf peranan kanak-kanak dalam menegakkan keadilan


  • Massa
  • Isnin, 03 Mac 2025

Pindaan itu berfungsi sebagai perundangan utama menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak. — Gambar hiasan

AKTA Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Pindaan 2024) [Akta 676] berkuat kuasa secara rasmi bermula Isnin, maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pindaan Akta 676 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 11 Julai tahun lalu berfungsi sebagai perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.

Menurut Azalina, beberapa undang-undang berkaitan juga dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan.

BACA LAGI: Teguran air manis jadi perdebatan, Dr. Rafidah terus ingatkan bahaya makanan, minuman tak sihat

BACA LAGI: Terima ucapan penghargaan PM New Zealand, Khairul Aming jadi pilihan pegang jawatan Exco Pelancongan

Azalina berkata, kerajaan terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara.

"Antaranya Akta Keterangan 1950 [Akta 56], Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Akta Sumpah dan Ikrar 1949 [Akta 1949], Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 [Akta 747] dan Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77].

"Dengan pindaan ini, keupayaan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.

"Ini termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan di bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan," katanya.

Tambah Azalina, kerajaan tekad untuk terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting mereka dalam menegakkan keadilan.

"Usaha ini juga sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram