
DALAM industri kecergasan dan kesihatan semakin berkembang, pilates dan yoga merupakan dua aktiviti yang semakin mengukuhkan tapaknya dalam kalangan penggemarnya.
Menurut laporan oleh Polaris Market Research, pasaran global untuk nilai studio pilates dan yoga dijangka meningkat daripada AS$158.43 bilion pada 2023 kepada AS$420.98 bilion pada 2032.
Laporan itu juga mendedahkan bahawa Asia Pasifik dijangka menyumbang bahagian terbesar dalam pasaran global untuk tempoh tersebut.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama syarikat yoga dan pilates The Flow Studio, Tiffany Yow menjangka permintaan untuk pilihan kecergasan berkualiti tinggi dan berimpak rendah ini akan meningkat dengan melihat kepada peningkatan tekanan tinggi dan kesibukan gaya hidup bandar di rantau ASEAN.
"Kita menjalani kehidupan sangat pantas terutamanya sejak Covid-19, kami melihat lonjakan besar dalam pasaran, kerana ramai orang menyedari kepentingan senaman dan pergerakan, bukan sahaja untuk kesihatan fizikal tetapi juga kesihatan mental," katanya kepada StarBiz 7.
Pertumbuhan The Flow Studio dalam tempoh enam tahun yang lalu mencerminkan permintaan tersebut.
Ditubuhkan pada 2018, perniagaan itu telah beralih daripada studio pertamanya di Bangsar ke 10 lokasi di seluruh Malaysia dan Singapura dan mampu kekal mencatatkan keuntungan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
"Bagi saya, itu adalah satu dorongan bahawa terdapat keinginan dan keperluan untuk apa kami tawarkan iaitu senaman mapan yang tidak dilihat sebagai tugas tetapi sesuatu yang mereka mahu lakukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup seimbang," ujarnya.
Mencipta semula pengalaman
Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama syarikat yoga dan pilates The Flow Studio, Tiffany Yow.
Pengenalan pertama Tiffany kepada pilates dan yoga hadir semasa dia tinggal dan bekerja di Melbourne, Australia.
Mencari aktiviti berehat daripada pekerjaan bertekanan tinggi dalam bank pelaburan, dia mencuba pelbagai gim dan program senaman, tetapi tidak banyak yang membuatnya berminat.
Bagaimanapun, selepas mengikuti beberapa kelas pilates dan yoga di sebuah studio butik, beliau mendapati dirinya tertarik dengan kegiatan tersebut.
"Saya menyedari perbezaannya adalah dalam suasana studio. Persekitaran terasa hangat, mesra dan tidak menakutkan, manakala kelasnya kecil dan pengajar menggunakan bahasa boleh difahami oleh penggiat baharu," ujarnya.
Sekembalinya di Kuala Lumpur, kelas sedemikian didapati masih belum banyak beroperasi di dalam negara.
"Yang tersedia adalah sesi peribadi perseorangan yang sangat mahal, atau diprogramkan sebagai pemulihan kecederaan dan bukannya satu bentuk senaman," katanya.
Menyedari jurang dalam pasaran tempatan, Tiffany memulakan The Flow Studio pada 2018.
Studio itu menawarkan kelas berasaskan latihan rintangan yang ceria, menarik dan bertujuan untuk membantu pelanggan dalam setiap sesi senaman.
Kelas turut dijalankan dengan iringan muzik bagi mempertingkatkan suasana mengiringi setiap kelas, manakala reka bentuk dan susun atur studio direka bagi membangkitkan perasaan berada di kediaman sendiri.
"Pengalaman hadir di The Flow bermula sebaik sahaja anda melangkah ke pintu.
"Ia termasuk dari segi bau, rupa, rasa tempat itu - ini mengenai keseluruhan pengalaman," katanya.
Hari ini, 10 studio syarikat itu masing-masing disesuaikan mengikut lokasi dan pelanggannya, daripada hiasan yang santai seperti rumah di kawasan luar dekat kejiranan Bangsar, kepada persekitaran lebih kemas untuk orang ramai di selepas tamat waktu pejabat di lokasi Damansara Heights.
"Walaupun kami sedang berkembang, kami masih mengekalkan ciri butik dan ingin menunjukkan bahawa masih ada jiwa dan idea baharu di sebalik setiap studio," tegasnya.
Kepercayaan kukuh
Kelas di The Flow Studio turut dijalankan dengan iringan muzik bagi mempertingkatkan suasana mengiringi setiap kelas, manakala reka bentuk dan susun atur studio direka bagi membangkitkan perasaan berada di kediaman sendiri.
Beberapa tahun belakangan ini menyaksikan pertumbuhan butik pilates dan studio yoga di dalam negara.
Walaupun persaingan sudah pasti berkembang, Tiffany berkata, The Flow Studio tetap memberi tumpuan kepada komitmen mendalamnya terhadap kualiti dan keselamatan, terutamanya apabila melibatkan pelatih.
"Setiap pengajar yang menyertainya menjalani program latihan dalaman yang sangat ketat di mana mereka belajar cara mengenal pasti otot dan melatihnya supaya pelanggan merasai dan melihat hasil yang sebenar.
"Kami juga memastikan semua pengajar kami terlatih dan berkelayakan untuk mengendalikan semua keadaan, sama ada untuk wanita mengandung, selepas bersalin, scoliosis, atau yang mengalami sebarang kecederaan," jelasnya.
Syarikat itu juga telah membangunkan dan melancarkan program latihan guru pilates sendiri yang diperakui Akademi Perubatan Sukan Kebangsaan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Oleh kerana ia adalah program kami sendiri, kami tidak perlu membayar yuran pelesenan. Ini membolehkan kami menjadikannya lebih berpatutan dan telah membuka peluang kepada ramai yang ingin memulakan kerjaya baharu dalam bidang ini,” ujarnya.
Disember lalu, firma pelaburan impak Bintang Capital Partners telah melakukan pelaburan kepada The Flow Studio melalui dana pengurusannya, BCP Asia Fund I.
Pembiayaan yang tidak diumumkan jumlahnya itu akan membantu memacu matlamat pengembangan serantau perniagaan di negara seperti Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam.
Bagaimanapun, Tiffany berkata, syarikat itu akan mengutamakan pertumbuhan mapan berbanding pengembangan pesat.
"Rancangannya bukan untuk berkembang mencapai sejuta kedai.
"Kualiti berbanding kuantiti akan terus menjadi kunci bagi kami, dan kami akan memastikan setiap studio dibuka mencatat keuntungan dengan sendirinya sebelum kami membuka premis lain," tegasnya.
Tiffany berkata, syarikatnya akan mengutamakan pertumbuhan mapan berbanding pengembangan pesat.
Di Malaysia, syarikat itu akan berusaha untuk membuka lebih banyak studio di lokasi lebih luas, sekali gus membawa kelas senaman berkualiti kepada lebih ramai orang.
Tiffany menambah objektif lain adalah untuk menyediakan kelas dan boleh diakses oleh kanak-kanak serta kumpulan warga emas.
"Apa yang menjadikan yoga dan pilates begitu mudah diakses ialah ia berimpak rendah, menjadikannya selamat untuk sesiapa sahaja dari umur 12 hingga 80 tahun," jelasnya.
Perniagaan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelbagai individu mengenai gaya hidup yang boleh mendapat manfaat daripada bentuk senaman ini.
Ia meliputi perenang yang ingin meningkatkan mobiliti bahu kepada pemain bola sepak yang mencari kekuatan dan postur teras lebih baik.
Tiffany berkata, visinya untuk The Flow Studio sentiasa bagi menjadikan pilates dan yoga boleh diakses oleh semua orang.
"Matlamat kami pada penghujungnya adalah untuk berkongsi pilates dan yoga dengan lebih ramai orang, dan visi itu sama sekali tidak akan berubah," katanya. — The Star/NICOLE CHEW
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram