
HOSPITAL Pakar CMH, Seremban, Negeri Sembilan bakal berwajah baharu menerusi projek pembangunan semula bernilai RM110 juta yang dijadualkan bermula pada 1 Mac.
Projek itu akan dimulakan dengan pembinaan tempat letak kereta sebanyak enam tingkat yang mampu menampung tambahan 314 kenderaan.
Presiden Persatuan Bersalin Cina Negeri Sembilan (NSCMA), Datuk Seri Lee Tian Hock, berkata, pembangunan tersebut dibuat bagi mewujudkan persekitaran hospital yang lebih mesra pesakit serta mudah diakses.
BACA LAGI: MCMC perlu kawal atau sekat Roblox elak kanak-kanak jadi mangsa ugut, pedofil — Shahul Hamid
BACA LAGI: [VIDEO] Budak cedera terperosok bawah Alza, kena langgar depan sekolah di Putrajaya
Hospital Pakar CMH ditubuhkan pada 1932.
"Kita meletakkan asas kepada transformasi yang bukan sahaja akan meningkatkan kapasiti fizikal hospital tetapi juga mempertingkatkan mutu penjagaan dan perkhidmatan kesihatan," katanya dalam majlis pecah tanah projek tersebut.
Hospital Pakar CMH, yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Bersalin Cina Negeri Sembilan ditubuhkan pada 1932 oleh dermawan Cina untuk membantu golongan kurang berkemampuan.
Lee memaklumkan bahawa setelah tempat letak kereta bertingkat siap dalam tempoh tujuh bulan, Blok A dan C akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu.
"Seterusnya, pembinaan blok perubatan baharu akan dimulakan termasuk penambahan katil pesakit dan klinik, sebelum fasa akhir iaitu pengubahsuaian pintu masuk Blok B," katanya.
Setelah siap, hospital itu bakal mempunyai tambahan 100 katil yang menjadikan jumlah keseluruhan kepada 166 katil.
Lee berkata, bilangan klinik pakar juga akan meningkat daripada 16 kepada 50 untuk membolehkan hospital menawarkan perkhidmatan yang lebih luas.
"Blok perubatan sembilan tingkat ini, dengan anggaran kos RM100 juta yang akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kapasiti dan perkhidmatan hospital.
"Pembinaannya dijangka bermula pada Disember ini," tambahnya.
Seluruh projek berkenaan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Lee berkata, bagi membiayai pembangunan itu, NSCMA merancang untuk menyenaraikan syarikat pegangan hospital di bursa tempatan bagi mengumpul dana untuk pembinaan blok perubatan baharu.
"Kami akan menawarkan pegangan ekuiti dalam syarikat pegangan ini kepada pemegang amanah, perunding dan kakitangan sebagai sebahagian daripada inisiatif pengumpulan dana," katanya.
Beliau menegaskan bahawa NSCMA akan kekal sebagai pemegang saham utama dan hospital akan terus membantu golongan miskin serta pesakit dialisis menerusi program amalnya. — The Star/SARBAN SINGH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram