
BAGI Puteri Nurul Nadirah Zaharuddin, 40, perjalanan dalam dunia seni kreatif gubahan bunga bukanlah sesuatu yang dirancang sejak awal.
Namun, dengan minat mendalam dan usaha gigih, nama beliau kini semakin dikenali dalam kalangan pencinta bunga di Malaysia.
“Sebenarnya ia bermula dengan minat, selepas memulakan bisnes dan apabila tengok semula gambar-gambar sewaktu kecil, saya perasan setiap kali melancong, saya mesti bergambar di depan kedai bunga.
BACA LAGI: Tahun Baharu Cina: Kos meningkat 15 peratus, pemilik nurseri tidak naikkan harga pokok bunga
BACA LAGI: Jodoh dan inspirasi di Jepun pikat hati anak jati KL jadi penggubah bunga
“Rupa-rupanya, saya sudah memanifestasikan minat ini sejak kecil,” kongsinya kepada Majoriti.
Walaupun begitu, beliau mengakui tidak mempunyai sebarang latihan formal pada awalnya.
Bagaimanapun selepas menyedari potensi menjana pendapatan melalui kemahiran tersebut, beliau memutuskan untuk mendalami ilmu gubahan bunga dengan menghadiri kelas di Australia selama beberapa bulan.
Sekembalinya ke Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Fleuri Flowers itu menyertai kelas-kelas hobi yang akhirnya membawa beliau menelusuri bidang perniagaan.
Dengan pelanggan pertama terdiri daripada rakan-rakan yang memberi sokongan, dari situ, beliau mula memperoleh keyakinan untuk menjadikan aktiviti gubahan bunga sebagai sesuatu yang lebih serius.
Untuk gubahan, jangan sekadar tertumpu kepada pembelian bunga sahaja.
Sentuhan Eropah dengan elemen moden
Fleuri Flowers dikenali dengan gaya gubahan yang berinspirasikan seni floristry Eropah, yang menampilkan bunga lembut seperti peonies, hydrangeas dan mawar.
Namun jelas Puteri Nurul Nadirah, seiring peredaran trend, beliau turut mengadaptasi gaya moden yang lebih natural dan organik.
“Sekarang ini, ramai yang suka akan gaya botanical raw look. Jadi, saya cuba menggabungkan elemen ini dengan gaya Eropah yang menjadi identiti Fleuri Flowers,” jelasnya.
Lebih mesra disapa Puteri, beliau menyifatkan rakyat Malaysia masih dalam proses mendalami apresiasi terhadap seni gubahan bunga.
Ujar beliau, mereka cenderung memilih bunga seperti peonies, hydrangeas dan tulip, yakni tumbuhan import yang sukar didapati di Malaysia.
"Namun, saya nampak peningkatan dalam minat terhadap bunga tempatan seperti orkid,” katanya.
Tip gubah bunga
Mengemudi Fleuri Flowers sejak 2017, Puteri berkongsikan tip 'wajib' yang perlu difahami agar anda boleh menggubah jambangan bunga sendiri laksana pro!
Menentukan saiz pasu amat wajar sebelum memutuskan untuk membeli bunga.
1. Tentukan jenis acara
"Kita kena ambil tahu jenis majlisnya," ujar Puteri. Sama ada perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri atau sekadar menjemput tetamu untuk jamuan sesama kenalan seperti makan malam atau tengah hari, ia penting bagi menentukan pemilihan bunga yang sesuai.
Menurut Puteri, kebanyakan penggemar bunga akan memilih lili kerana rupanya yang lembut. Bagaimanapun, jika memilih untuk acara melibatkan makanan, beliau tidak menyarankan lili kerana baunya agak kuat sehingga menenggelamkan aroma makanan.
2. Pilih pasu sebelum beli bunga
Menentukan saiz pasu amat wajar kerana dikhuatiri saiz pasu sama ada terlalu panjang atau kecil menjadikan ia tampak kurang sesuai sebagai anjung bunga-bungaan. Jika berkenan akan pasu panjang, pembaca boleh memilih bunga yang memilik batang panjang seperti lili, ros, orkid dan bunga teluki.
Manakala bunga dahlia, tulip dan ranunculus sesuai buat pasu lebih pendek. Selain itu pembaca boleh memotong batang bunga sebagai alternatif memendekkan batang bunga yang terlalu panjang untuk diletakkan dalam pasu.
3. Jangan abaikan dedaun
Untuk gubahan, jangan sekadar tertumpu kepada pembelian bunga sahaja. Pilih dedaun juga supaya ia dapat digandingkan bersama gubahan bunga agar ia terlihat cantik dan besar. Tanpa hiasan daun, bunga akan tampak kosong.
4. Beli bunga satu hari sebelum acara
Seeloknya beli bunga hidup satu atau dua hari sebelum acara. Jika beli lebih awal dikhuatiri bunga akan cepat layu seterusnya mati, ini akan mengakibatkan hiasan bunga kelihatan kurang sempurna.
Selain itu, pemilihan bunga penting agar ia dapat bertahan lebih dari lima hari. Jangan pilih bunga yang mempunyai kelopak halus kerana kesegaran bunga berkenaan tidak akan bertahan lama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram