DIDEDAHKAN dengan seni gubahan bunga oleh ibu sedari kecil menjentik minat pemilik Saudagar General Store, Ifzan Ibrahim untuk berkecimpung dalam bidang tersebut.
Berbanding kebiasaan, gubahan bunga hasil sentuhan pereka grafik berusia 48 tahun ini lebih banyak menerapkan budaya masyarakat Jepun yang ringkas, elegan dan minimalis.
Ifzan berkata, seni gubahan bunga sementara yang diketengahkan sejak 2018 itu menggabungkan elemen bunga, susunan ranting dan daun untuk mewujudkan kombinasi harmoni.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Saudagar General Store ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan gubahan bunga untuk pelbagai acara majlis secara dalam talian. — Instagram/ifzan.ibrahim
Penggubah bunga berkenaan juga gemar bereksperimen dengan pemilihan bahan gubahan unik menggunakan bunga dan sayuran tempatan seperti bunga kantan, misai kucing, bunga pokok lemuni, air mata pengantin (coral vine) dan banyak lagi spesies tumbuhan di Malaysia.
“Sejak kecil, saya didedahkan dengan seni gubahan bunga yang pelbagai oleh ibu.
“Ketika berkahwin dengan isteri yang berasal dari Jepun, saya kagum melihat susunan bunga dihasilkan untuk menghias majlis. Malis perkahwinan saya berlangsung pada 2013, tapi saya tidak pernah melihat gubahan seumpamanya di Malaysia,’’ katanya.
Justeru, setiap kali Ifzan pulang ke negara matahari terbit itu untuk melawat keluarga isteri, dia akan mengikuti kelas gubahan bunga bersama tukang bunga di sana.
Keluarga menjadi tonggak kepada Ifzan (kanan) untuk terus menghasilkan ilham kreatif. — Instagram/ifzan.ibrahim
Lima tahun kemudian, Saudagar General Store ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan gubahan bunga untuk pelbagai acara majlis secara dalam talian.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, syarikatnya menawarkan perkhidmatan gubahan bunga yang dilanggan secara mingguan, bulanan dan untuk acara kejutan atau istimewa.
“Buat masa ini, saya membekalkan gubahan bunga mingguan untuk Hotel Kloe Kuala Lumpur,’’ jelasnya.
Seni gubahan bunga itu menggabungkan elemen bunga, susunan ranting dan daun untuk mewujudkan kombinasi harmoni. — Instagram/ifzan.ibrahim
Peluang
Bagaimanapun, pihaknya tetap menerima tempahan daripada pelanggan tetap, individu, restoran, syarikat swasta dan jenama fesyen tempatan serta antarabangsa.
Dia yang aktif dalam bidang rekaan sejak 2000 menjelaskan bahawa dunia gubahan bunga membuka banyak peluang baharu, sekali gus menarik minatnya mempelajari gubahan kontemporari.
“Gubahan kontemporari ini untuk memberi kelainan pada gubahan sedia ada. Sentuhan Saudagar General Store menerapkan konsep gubahan bagi memelihara asimetri dan elemen simbolik keharmonian.
“Saya menggunakan gabungan bunga segar dan tumbuhan lain yang disusun cantik sebagai perhiasan. Setiap gubahan berbeza mengikut gaya dan teknik digunakan,” katanya.
Tambahnya, selain dari Malaysia, bunga-bunga yang digunakan adalah diimport dari Belanda, Afrika Selatan, Ecuador, Kenya, China dan Korea.
Setiap gubahan mampu bertahan antara satu hingga dua minggu bergantung pada penjagaan. Caranya mudah, air dalam pasu perlu ditukar setiap hari.
“Air yang bersih amat bagus untuk kesegaran dan jangka hayat bunga.
“Sementara itu, bagi koleksi gubahan bunga pula tidak tetap kerana bekalan bunga-bunga segar yang bermusim,” jelasnya yang menawarkan gubahan bermula dari harga RM100 ke atas.
Selain dari Malaysia, bunga-bunga yang digunakan adalah diimport dari Belanda, Afrika Selatan, Ecuador, Kenya, China dan Korea. — Instagram/ifzan.ibrahim
Pilihan bunga pula katanya, bergantung kepada jenis bunga yang tersedia setiap minggu.
“Jadi, setiap gubahan bunga adalah unik untuk setiap pelanggan.
“Namun, pelanggan boleh memilih kategori koleksi Signature Mix terdiri daripada pilihan bunga liar import dan koleksi bridal untuk pernikahan atau majlis bersanding,” tuturnya yang turut mendapat inspirasi daripada penggubah bunga lain.
Pun demikian, jelasnya, kelainan pada rekaan itu sedikit sebanyak menjadi satu cabaran untuk menarik minat pelanggan tempatan.
Ifzan dalam pada itu mengakui, dirinya turut berdepan kesukaran untuk mendapatkan pelanggan pada peringkat awal pembukaan.
Ifzan berkata, kelainan pada rekaan sedikit sebanyak menjadi satu cabaran untuk menarik minat pelanggan tempatan.
“Mereka lebih selesa dengan gubahan bunga sedia ada di pasaran. Selain itu, untuk mendekati kumpulan pelanggan sasaran juga mencabar,” ujar Ifzan sambil memberitahu keluarga menjadi tonggak kepadanya terus menghasilkan ilham kreatif.
Kini, selepas sudah enam tahun bertapak dalam industri diceburi, dia mula menerima tempahan pelanggan daripada pelbagai latar belakang, selain turut menganjurkan kelas gubahan bunga kepada mereka berminat.
“Saya juga giat mengendalikan bengkel flora sekitar Lembah Klang terutamanya di Hotel Kloe pada hujung minggu, selain di restoran Jibby By The Park untuk kelas hari biasa,” katanya yang turut menyuarakan harapan untuk membuka kedai bunga pada masa akan datang, bagi memudahkan pelanggan datang berkunjung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram