[VIDEO] Bergelar peguam tetapi jiwa terarah pada fesyen, label Nuria jadi medium buat Zaznuriah berkreatif


  • Bizz
  • Khamis, 27 Feb 2025

ATAS permintaan kenalan yang menggemari fesyen digayakan, Zaznuriah Zahir, 40, menterjemahkan minat dan kecintaannya terhadap dunia rekaan menerusi jenama Nuria.

Mengusahakan Nuria sejak 2015, jenama pakaian wanita kontemporari itu melalui proses perkembangan yang mengagumkan secara berpeingkat. 

Bermula dengan mengambil tempahan terlebih dahulu, Nuria kemudiannya memperkenalkan konsep kuantiti terhad sebelum melangkah ke peringkat lebih besar dengan koleksi ready-to-wear. 

BACA LAGI: MaryamBayam adaptasi seni batik tradisional dalam koleksi aksesori kontemporari

BACA LAGI: Hilang arah pemergian ibu, wanita Penanti bangkit berniaga, anak sulung kena kuat

Kepada Majoriti Zaznuriah membuka cerita, 2017 menyaksikan jenama tersebut mulai berkembang, dengan pertambahan  jumlah stok dan kini koleksi mereka juga sudah semakin meluas. 

Berada di landasan yang lebih agresif dari segi pertumbuhan, jenama Nuria terus mencatatkan perkembangan pesat selepas hampir 10 tahun beroperasi.

"Sepanjang lapan tahun pertama, saya menjalankan perniagaan ini seorang diri, menguruskan segala urusan dan menggunakan khidmat pekerja sambilan serta graduan bagi membantu operasi. 

"Namun menjelang 2023, kapasiti perniagaan dan permintaan pelanggan mula meningkat hingga mendorong saya untuk membesarkan pasukan,” bicara ahli perniagaan itu.

Pada awal penubuhan jenama pakaian Nuria, Zaznuriah menjalankan perniagaan tersebut seorang diri. 

 — Instagram/zaznuriah

Subjek seni

Berlatarbelakangkan akademik undang-undang, pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu tidak dapat menepis minatnya yang terarah dalam bidang seni dan fesyen.

Sehingga kini, Zaznuriah merupakan seorang peguam korporat dengan pengalaman lebih 16 tahun dalam bidang undang-undang. 

Namun, minat mendalam terhadap seni mendorongnya menceburi dunia rekaan dan mencipta koleksi pakaian yang turut meraih perhatian pelanggan luar negara seperti Singapura.

"Saya masih bekerja sebagai peguam sepenuh masa hingga sekarang tapi saya memang sukakan seni sejak kecil lagi.

"Saya juga sanggup ambil pendidikan seni sebagai subjek tambahan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya yang cenderung meluangkan masa mengunjungi muzium seni ketika melancong.

Keghairahan anak kedua daripada tiga beradik itu terhadap seni membawa beliau kepada dunia rekaan pakaian. 

Selain cantik dipandang, koleksi pakaian Nuria juga praktikal untuk dipakai dalam pelbagai situasi dan keadaan. — Instagram/nuriaeditions

Zaznuriah pada awalnya bermula sebagai hobi dengan mencipta rekaan pakaian untuk diri sendiri dan kenalan rapat.

"Saya mula dengan menghasilkan 11 helai baju kafaya (gabungan kaftan dan kebaya) untuk keluarga dan rakan-rakan. 

"Tak sangka ia berkembang apabila orang lain mula tertarik dan mahu mendapatkan pakaian sama, sehinggalah tercetusnya idea melancarkan jenama sendiri," ujarnya menambah majoriti pembeli Nuria terdiri daripada golongan profesional berusia antara 25 hingga 45 tahun.

Jenama Nuria, yang dinamakan sempena namanya sendiri, mula dibangunkan dengan koleksi seperti kaftan dan kebaya moden. 

Nama Nuria jelas Zaznuriah, membawa maksud 'perempuan bercahaya' dalam bahasa Arab, sesuai dengan identiti jenama yang mengutamakan gaya dan rona terang serta berseri. 

Nuria menampilkan rekaan minimalis digabungkan dengan gaya yang kekal relevan sepanjang masa. — Instagram/zaznuriah

Rekaan minimalis

Sebagai jenama yang terus berkembang, Zaznuriah berusaha memastikan setiap rekaan dihasilkan memenuhi keperluan pelanggan, terutama dalam aspek keselesaan dan gaya yang sesuai dikenakan dalam pelbagai acara.

Mengulas tentang konsep jenama pula, beliau menjelaskan, Nuria mengutamakan imej yang polished, dan rekaan minimalis yang kekal relevan sepanjang masa. 

"Saya akan pastikan setiap rekaan bukan sahaja cantik dipandang, tetapi praktikal untuk dipakai dalam pelbagai situasi dan keadaan," ujar beliau yang akan meluangkan masa untuk bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.

Bagi pengasas tersebut, keselesaan bukan sahaja terletak pada potongan atau gaya rekaan semata-mata, tetapi turut melibatkan pemilihan fabrik yang sesuai.

Katanya, jika diteliti, bukan hanya kemasan dan elemen gaya yang dihasilkan sahaja memainkan peranan, malah kombinasi warna dan fabrik juga tidak kurang pentingnya.

Beliau percaya setiap jenis fabrik memberi impak berbeza pada rekaan dan turut memberi keselesaan kepada pemakai. Oleh itu, pemilihan material adalah aspek penting yang tidak boleh diabaikan.

"Antara fabrik yang sering digunakan termasuklah kapas, linen, sutera satin, renda, sulaman renda, lycra, broked dan jacquard.

"Setiap jenis material ini dipilih dengan teliti agar memenuhi cita rasa pelanggan, memberikan keselesaan sepanjang hari, serta mengekalkan estetika elegan yang menjadi ciri utama jenama ini,” tambahnya yang menggemari warna pastel.

Beliau turut menekankan kepentingan akademik dalam apa jua bidang diceburi. — Instagram/zaznuriah

Putus asa

Biarpun cabang bisnes ada pasang dan surutnya, akui ibu kepada sepasang cahaya mata itu, keberanian untuk memulakan perniagaan datang daripada keyakinan bahawa jika ada kemahuan, pasti ada jalan.

"Saya jenis orang yang kalau nak buat sesuatu, akan cari jalan untuk merealisasikannya, meskipun mengambil masa," bualnya.

Akui wanita yang mesra disapa Zaza itu lagi, seperti mana-mana usahawan, dirinya juga pernah merasakan keletihan melampau dan keraguan dalam perjalanan mengembangkan bisnes. 

Melihat senyuman terukir di raut manisnya, tiada siapa menyangka usahawan itu pernah hampir berputus asa dengan perniagaan yang dikendalikan. 

"Adakalanya saya rasa macam tak boleh buat teruskan lagi (bisnes), penat dan kapasiti mental pun terjejas. 

"Bisnes ini memang berisiko dan kadang-kadang kita tidak tahu macam mana nak tangani kerugian. 

"Namun dengan sokongan keluarga, rakan-rakan dan pasukan, saya tidak mudah berputus asa dan cuba buat ikut kemampuan. Biarlah lambat, asal kita teruskan," katanya yang juga berperanan sebagai pengarah kreatif Nuria.

Menyentuh tentang pendidikan, beliau turut menekankan kepentingan akademik dalam apa jua bidang diceburi. 

Pernah menjadi mentor bagi pelajar tahun akhir di UITM, pesannya, pendidikan adalah tiket kepada setiap hal yang hendak dicapai dalam hidup. 

Sebagai peguam, Zaza menyedari kepentingan pengetahuan undang-undang dalam menjalankan perniagaan. 

"Pengetahuan undang-undang membantu saya lebih teliti dalam urusan dokumentasi. 

"Saya tahu bagaimana membaca kontrak dan perjanjian dengan baik. Ia sangat membantu menguruskan perniagaan dengan lebih teratur dan mengelakkan sebarang perselisihan," tuturnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram