'Akiko Okumura telah pergi meninggalkan saya dan anak selamanya', isteri Ridzuan Ridzokumura meninggal dunia


  • Massa
  • Jumaat, 28 Feb 2025

Akiko (kanan) disahkan meninggal dunia pada Jumaat.

ISTERI usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura iaitu Akiko Okumura meninggal dunia pada Jumaat.

Berita duka itu disahkan sendiri oleh Ridzuan atau nama sebenarnya Abdul Ridzuan Abdul Mutalib, 50, menerusi hantaran di media sosialnya.

“Al-Fatihah untuk arwah isteri saya Akiko Okumura telah pergi meninggalkan saya dan anak selamanya,” tulis menerusi hantaran tersebut.

Ridzuan bagaimanapun tidak memaklumkan punca sebenar kematian isterinya itu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata selebriti, usahawan dan peminat penata rambut terkenal itu turut terkejut dengan pemergian Akiko yang juga warganegara Jepun, selain sempat menitip doa buat arwah.

"Salam takziah abang Ridz dan Sky. Ya ALLAH terkejut sungguh dengar berita ni, semoga abang dan Sky tabah serta reda dengan dugaan ini. Baru tak sabar nak tengok menu Akiko bulan puasa," tulis usahawan, Aleeya Zailan.

Tidak hanya Ridzuan, Akiko juga terkenal dalam kalangan pengikut di media sosial susulan beliau juga kerap berkongsi aktiviti bersama keluarga termasuk sisi kreatifnya dalam menghias makanan untuk sahur dan berbuka puasa.

Untuk rekod, Ridzokumura dan Akiko mendirikan rumah tangga pada Februari 2009.

Pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata, Sky Taizo Okumura, yang baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-13 pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram