Tahun Baharu Cina: Kos meningkat 15 peratus, pemilik nurseri tidak naikkan harga pokok bunga


  • Bizz
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Loh Sew Fong, salah seorang pelanggan memilih bunga di sebuah pusat tanaman di Johor Bahru untuk menghias rumahnya sempena Tahun Baharu Cina ini.

WALAUPUN hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menjejaskan jumlah pelanggan, sebuah pusat tanaman hiasan yang beroperasi di Johor Bahru, Johor optimis bahawa jualan akan meningkat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Pemilik pusat tanaman tersebut, Michael Ng berkata, kebanyakan pelanggan mula membeli tumbuhan yang popular sewaktu musim perayaan itu, sejak awal tahun ini.

“Kebiasaannya, persiapan Tahun Baharu Cina bermula dua hingga tiga minggu sebelum perayaan, namun tahun ini pelanggan nampaknya mula membeli lebih awal,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

Michael turut menjelaskan bahawa pembelian pada awal tahun sedikit sebanyak membantu menampung penurunan jumlah pelanggan yang berlaku disebabkan oleh cuaca lembap dan suram ketika ini.

Dia juga yakin bahawa pelanggan tetap akan keluar membeli tumbuhan hiasan walaupun cuaca tidak berubah.

Antara tanaman kekal popular ialah pokok oren, limau kumquat, krisan, buluh bertuah dan orkid.

“Kami memutuskan untuk tidak menaikkan harga tumbuhan walaupun kos meningkat sekitar 10 peratus hingga 15 peratus.

"Saya berharap jumlah pelanggan yang lebih ramai akan mengimbangi kos tambahan ini,” tambahnya.

Sementara itu, Chong Jun Jie, pengurus sebuah pusat tanaman di Danga Sutera berkata, jualan tahun ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sebelumnya.

“Hujan memang menjejaskan perniagaan sehingga menyebabkan bilangan pelanggan berkurang, tetapi apabila hujan berhenti, pelanggan kembali datang.

"Malah, jualan tahun ini lebih baik berbanding tahun lepas, terutama pada awal bulan sebelum musim hujan bermula,” katanya.

A vertical closeup shot of beautiful pink orchids with a blurred background

Orkid antara pokok bunga popular sempena Tahun Baharu Cina.

Pemilik nurseri itu juga menjangkakan peningkatan jumlah pelanggan kira-kira 10 hari sebelum perayaan.

Menurutnya, selain penduduk tempatan, pusat tanaman di Danga Sutera turut menarik perhatian pelawat dari Singapura.

Walaupun peraturan sempadan melarang membawa masuk tanah ke Singapura, pelawat masih boleh membeli buluh bertuah yang popular untuk perayaan ini.

Sementara itu, di Perling, Johor Bahru, seorang lagi pengurus pusat tanaman, Johnny Teng mengakui bahawa jualan pada tahun ini adalah jauh lebih baik berbanding sebelum pandemik Covid-19.

“Jualan untuk Tahun Baharu Cina menunjukkan peningkatan sejak pandemik Covid-19 dan saya percaya tahun ini akan mencatat rekod lebih baik.

"Kami juga tidak menaikkan harga tumbuhan dan ini mungkin menjadi faktor peningkatan jualan,” katanya.

Johnny menambah bahawa bekalan bunga tahun ini lebih banyak dan segar berbanding beberapa tahun sebelumnya.

Ujarnya, sebelum ini, kekurangan bekalan berlaku akibat cuaca buruk dan operasi petani bunga yang baru sahaja pulih selepas pandemik.

"Namun, isu ini tidak lagi menjadi masalah dan cuaca tahun ini sangat baik untuk tanaman berbunga,” jelasnya.

Pusat tanaman kini terus bersiap sedia untuk memenuhi permintaan pelanggan yang dijangka memuncak dalam beberapa hari menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. — The Star/VENESA DEVI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram