RUU Majlis Media Malaysia jadi perintis perkukuh kedudukan wanita dalam kategori ahli Lembaga


  • Massa
  • Khamis, 27 Feb 2025

MMM berperanan menyelaras perkara berkaitan latihan, pembangunan kapasiti dan pembangunan profesional wartawan dan pertubuhan media.

RANG Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 yang membenarkan pengaturan sendiri dalam industri media tempatan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu, selepas 50 tahun melalui proses perbincangan mendalam.

Pindaan tersebut bertujuan mewujudkan sebuah majlis yang akan menetapkan piawaian dan kod etika bagi pengamal media di Malaysia dengan menekankan kepada kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab.

RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara pandu Kelisa ke Parlimen, Teo Nie Ching pernah kena halau dengan pak guard

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini surat mahkamah', lelaki mirip warga Pakistan didakwa halau penduduk kampung lepas beli tanah di Beaufort

Nie Ching berkata, RUU itu berupaya memperkukuh kedudukan pengamal media wanita di negara ini.

Ketika membentangkan RUU MMM 2024 untuk bacaan kali kedua, Nie Ching berkata, cadangan untuk menubuhkan MMM dibuat lebih lima dekad lalu oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 1973. 

Walau bagaimanapun, memorandum Kabinet untuk penubuhan majlis tersebut hanya dibentangkan dan diluluskan pada 6 Disember 2019.

Nie Ching menjelaskan, pelbagai usaha diambil bagi merealisasikan penubuhan majlis itu termasuk draf RUU yang disiapkan oleh jawatankuasa Pro-Tem MMM yang terdiri daripada 21 ahli pada Ogos 2020. 

Seterusnya, sebanyak 26 sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan telah diadakan bagi memperhalusi perincian RUU tersebut.

"Secara ringkasnya, RUU Majlis Media Malaysia ini terhasil daripada kerjasama yang kukuh antara kerajaan dan wakil-wakil industri media," katanya.

Menurut beliau, Klausa 5 dalam RUU tersebut menggariskan fungsi utama majlis, antaranya untuk menetapkan dan mengatur piawaian serta tingkah laku profesional bagi pengamal media dan pengamal media bebas di Malaysia.

"Sehingga kini, kita tiada badan yang khusus untuk mengurus dan memperjuangkan kepentingan media tempatan. Dengan penubuhan majlis ini, kerajaan yakin bahawa semakan dan imbangan dapat dilaksanakan oleh pemain industri media itu sendiri," jelasnya.

Menerusi RUU itu, MMM turut berperanan menyelaras perkara berkaitan latihan, pembangunan kapasiti dan pembangunan profesional wartawan dan pertubuhan media selain menguruskan dan menyenggara pangkalan data yang mengandungi maklumat pengamal media dan pengamal media bebas untuk pembangunan berterusan industri media dan kewartawanan.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, RUU itu turut menjadi perintis dalam memperkukuh kedudukan wanita yang menetapkan bahawa setiap kategori ahli Lembaga mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil wanita.

Selain itu, RUU berkenaan menetapkan setiap kategori ahli harus merangkumi sekurang-kurangnya seorang wakil dari Sabah atau Sarawak, di samping wakil tambahan yang akan dilantik bagi memastikan keseimbangan dari segi jantina, lokaliti serta kepelbagaian media berdasarkan bahasa dan format. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram