Persekitaran mesra individu autistik dan sensitif deria, Legoland diiktiraf Pusat Autisme Bertauliah pertama Malaysia


  • Relaks
  • Rabu, 26 Feb 2025

Legoland komited menyediakan persekitaran inklusif, dengan laman aksesibiliti yang mengandungi panduan deria untuk setiap tarikan. — Legoland

LEMBAGA Piawaian Pendidikan Berterusan dan Pengiktirafan Antarabangsa (IBCCES) mengumumkan Legoland Malaysia Resort (Legoland) sebagai Pusat Autisme Bertauliah (CAC) pertama di Malaysia.

Pengumuman itu menandakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan aksesibiliti dan amalan inklusiviti di taman tema dan destinasi tarikan pelancong negara.

Pengiktirafan tersebut juga menegaskan komitmen Legoland untuk menyediakan pengalaman yang mesra dan menyambut semua pengunjung tanpa mengira keperluan serta latar belakang mereka.

BACA LAGI: Risiko budak lelaki didiagnosis autisme, lebih 4 kali ganda berbanding perempuan — Pakar

BACA LAGI: [VIDEO] NGO sokong usaha Nasom, akui penubuhan SAVe demi masa depan individu autisme

Status Pusat Autisme Bertauliah diberikan kepada organisasi yang telah melengkapkan latihan kesedaran autisme dan deria khusus serta pensijilan untuk kakitangan yang berinteraksi dengan pengunjung, di samping memenuhi pelbagai keperluan lain, termasuk audit di lokasi.

Selain latihan khusus, inisiatif tersebut turut merangkumi alat aksesibiliti baharu, yang mana keluarga kini boleh mengakses panduan deria terperinci untuk setiap tarikan secara dalam talian dan di lokasi.

Ia bertujuan membantu mereka merancang lawatan yang lebih selesa dan tanpa tekanan.

Keluarga kini boleh mengakses panduan deria terperinci untuk setiap tarikan secara dalam talian dan di lokasi. — Legoland

Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resort, CS Lim berkata, pihaknya sentiasa komited memberikan pengalaman mendidik, menyeronokkan dan tentunya sesuatu yang tidak dapat dilupakan kepada kanak-kanak serta keluarga.

"Pengiktirafan sebagai Pusat Autisme Bertauliah pertama di Malaysia adalah satu pencapaian bermakna dan kami berbangga memperoleh status itu.

"Sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia, kami berusaha mencipta persekitaran mudah diakses dan fleksibel, yang mampu memenuhi keperluan pelbagai pengunjung.

"Kami akan terus bekerja keras untuk menjadikan taman tema ini inklusif dan mesra untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan satu daripada 100 kanak-kanak di seluruh dunia menghidap autisme, banyak keluarga berdepan kesukaran mencari aktiviti sesuai untuk anak-anak mereka merasa selesa dan diterima.

Lawatan ke taman tema sering menjadi cabaran disebabkan kakitangan tidak terlatih, persekitaran terlalu mengganggu dan kekurangan maklumat mengenai kesedaran deria serta aktiviti yang mesra deria.

Untuk menangani keperluan tersebut, IBCCES menawarkan program latihan dan pensijilan khusus yang direka untuk tarikan pelancongan, hotel, zoo, akuarium dan lokasi rekreasi lain.

Program itu memberikan panduan penting mengenai autisme, strategi komunikasi yang berkesan dan amalan terbaik untuk mencipta pengalaman positif bagi pengunjung.

Legoland Malaysia Resort menawarkan lebih 40 permainan dan tarikan. — Legoland

Legoland Malaysia Resort di Johor, yang dibuka pada 15 September 2012 merupakan taman tema Legoland pertama di Asia.

Resort berkenaan menawarkan lebih 40 permainan dan tarikan selain turut menyediakan pelbagai pengalaman buat pengunjung daripada semua peringkat umur.

Selain itu, Legoland komited menyediakan persekitaran inklusif, dengan laman aksesibiliti yang mengandungi panduan deria untuk setiap tarikan, membolehkan pengunjung merancang lawatan mereka dengan lebih baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Lembaga IBCCES, Myron Pincomb berkata, pensijilan tersebut adalah langkah penting ke arah meningkatkan aksesibiliti dan inklusiviti dalam industri pelancongan Malaysia.

"Legoland menunjukkan komitmen luar biasa untuk menyediakan persekitaran yang menyokong dan mesra buat individu autistik dan mereka yang sensitif terhadap deria," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram