Diskriminasi, stereotaip, ketidakseimbangan gender masih cabaran utama pemimpin muda wanita negara


  • Relaks
  • Khamis, 27 Feb 2025

Mahasiswa wanita diingatkan agar sentiasa sensitif terhadap peranan mereka dalam organisasi kepimpinan. 

WALAUPUN wanita kini hampir seiring dengan lelaki dalam pelbagai bidang, pencapaian golongan tersebut dalam cabang kepimpinan masih memerlukan penambahbaikan.

Timbalan Pendaftar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Salmiwati Othman berpandangan, dunia yang semakin moden memberikan harapan baharu untuk kesaksamaan gender, namun kehidupan wanita masih banyak dipengaruhi persekitaran yang didominasi oleh lelaki.

Menurutnya, saban tahun Hari Wanita Sedunia disambut bagi meraikan kejayaan dan perubahan dalam agenda pemerkasaan wanita. 

BACA LAGI: Wanita muda berilmu bijak buat keputusan sebagai pemimpin cekap, pendidikan agenda utama Izzana

BACA LAGI: [VIDEO] Bergelar peguam tetapi jiwa terarah pada fesyen, label Nuria jadi medium buat Zaznuriah berkreatif

"Namun persoalannya, adakah pencapaian dan inisiatif yang dicapai sudah mencukupi untuk dijadikan alasan meraikan kejayaan tersebut?" soalnya.

Beliau juga menekankan kepentingan peranan wanita muda dalam membawa perubahan lebih inklusif dan berkesan, terutamanya dalam bidang kepimpinan. 

Wanita muda kini ujarnya, semakin aktif tampil sebagai pemimpin dalam pelbagai bidang seperti politik, sosial dan keusahawanan. 

"Mereka tidak lagi menjadi pengikut, sebaliknya berupaya memecahkan stereotaip tradisional dan mencipta landasan baharu kepimpinan," jelasnya.

Salmiwati berkata, penyertaan mahasiswa wanita sebagai calon dalam pilihan raya kampus masih rendah. 

Mengulas lanjut mengenai penyertaan wanita dalam kepimpinan di peringkat universiti, Salmiwati berkata, kemahiran tersebut seharusnya diasah sejak zaman persekolahan dan diteruskan di peringkat universiti. 

Walaupun bilangan mahasiswa wanita di universiti awam semakin tinggi, namun penyertaan mereka sebagai calon dalam pilihan raya kampus masih rendah. 

Jelas beliau, keadaan itu menunjukkan bahawa pemerkasaan wanita di peringkat akar umbi di universiti memerlukan usaha lebih besar untuk memastikan bakat kepimpinan wanita muda diketengahkan.

Wanita muda negara

Beliau menegaskan, keperluan untuk meningkatkan bilangan generasi pemimpin muda wanita semakin mendesak, terutamanya dalam konteks negara sedang membangun.

Katanya, generasi muda wanita semakin aktif dalam arena politik dan gerakan sosial, membawa isu-isu seperti kesaksamaan gender, pendidikan, kesihatan dan hak asasi manusia ke dalam perbincangan awam.

Beliau menambah, gerakan seperti #Pertiwi dan #Jeiwa telah membuktikan bahawa wanita muda mampu menggerakkan perubahan global melalui kepimpinan yang berani dan berprinsip. 

"Dalam bidang keusahawanan, wanita muda juga menunjukkan kecenderungan tinggi untuk membawa perubahan dengan memperkenalkan program-program pemerkasaan ekonomi wanita seperti akses kepada modal, latihan kemahiran dan jaringan mentor.

"Selain itu, wanita muda kini turut mengejar kejayaan dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), yang sebelum ini didominasi oleh lelaki. 

"Kepimpinan mereka dalam bidang ini membuktikan bahawa wanita mampu menjadi pemain utama dalam revolusi digital," jelasnya.

Tugas lebih ringan

Meskipun banyak kemajuan dicapai, wanita muda masih berdepan cabaran besar seperti diskriminasi, stereotaip dan ketidakseimbangan gender. 

Salmiwati bagaimanapun memuji usaha wanita muda yang tidak gentar dalam menghadapi dugaan tersebut. 

Ujarnya lagi, kehadiran platform media sosial seperti TikTok dan X diaplikasikan wanita muda kini sebagai pentas menyuarakan isu-isu gender serta menuntut perubahan sistematik.

Di peringkat universiti, beliau mengingatkan mahasiswa wanita agar sentiasa sensitif terhadap peranan mereka dalam organisasi kepimpinan. 

"Wanita sering kali diberikan tugasan lebih ringan dan hanya berperanan sebagai setiausaha atau bendahari dalam majlis tertinggi mahasiswa mahupun persatuan pelajar. Ini perlu diubah," tegasnya.

Salmiwati dalam pada itu turut menyuarakan harapan agar pihak berkepentingan membuka lebih banyak peluang kepada wanita muda mencungkil bakat mereka dalam bidang kepimpinan. 

"Pelajar perlu menyokong visi kepimpinan generasi muda wanita untuk mencipta dunia lebih adil dan membawa perubahan positif," ulasnya.

Dengan sokongan dan inisiatif lebih berimpak, beliau percaya wanita muda akan terus mengemudi perubahan yang membawa manfaat, bukan hanya untuk diri mereka, tetapi juga masyarakat dan negara secara keseluruhannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram