
POLIS sedang menyiasat satu kes penipuan berkaitan penganjuran pertandingan bola sepak amatur yang didapati tidak wujud.
Difahamkan, Karnival Pertandingan Bola Sepak 11 Sebelah U14 & U16, ASM Cup & Big Pos Cup 2025 kononnya dijadualkan berlangsung pada 22 Februari 2025 di Padang Taman Dr. Seenivasagam dekat Ipoh, Perak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Mohamad Sajidan bin Abdul Sukor berkata, seorang wanita tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur membuat laporan selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan.
"Mangsa mendakwa ditipu oleh seorang lelaki yang menganjurkan kanival kejohanan bola sepak yang kononnya dijadualkan berlangsung pada 22 Februari 2025 di Padang Taman Dr. Seenivasagam, Ipoh pada Sabtu.
BACA LAGI: Azizul Abu Hanifah antara bekas pemain Perak hadir majlis pengebumian Ishsam Shahruddin
"Siasatan awal mendapati mangsa, yang mewakili pasukan Highlander FC U14 dari SMK Gunung Rapat, Ipoh, telah membuat dua transaksi pembayaran berjumlah RM400 secara dalam talian ke dua akaun bank berbeza bagi menyertai pertandingan tersebut.
"Namun, apabila mangsa tiba di lokasi yang dijanjikan sekitar pukul 7 pagi, tiada sebarang petanda tentang kewujudan pertandingan itu. Cubaan untuk menghubungi penganjur turut gagal, menyebabkan mangsa menyedari telah ditipu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelas beliau lagi, sehingga kini, pihak polis telah menerima lima lagi laporan polis yang melibatkan penganjur sama.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.
"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan membuat pengesahan dengan pihak berkaitan sebelum menyertai sebarang acara yang dianjurkan secara dalam talian," katanya
Beliau turut menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang kelihatan terlalu menarik dan memastikan semua transaksi dibuat melalui saluran rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram